Pengecualian kabotaj, kerajaan kaji impak industri perkapalan 

Pengecualian kabotaj, kerajaan kaji impak industri perkapalan 

dewan rakyat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan mengkaji lanjut impak, keperluan semasa industri serta aspek-aspek mikro dan makro dalam menentukan hala tuju pelaksanaan dasar pengecualian kabotaj di Malaysia. 

Menterinya, Anthony Loke berkata, ketika ini, kementerian sedang giat melaksana sesi libat urus bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan berhubung perkara itu. 

“Hal ini bagi mendapatkan penyelesaian menang-menang bagi semua pihak yang terlibat, terutama pelabur asing, syarikat-syarikat telekomunikasi selain pemain industri perkapalan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam. 

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan status memulihkan pengecualian kabotaj untuk syarikat berteknologi tinggi memperbaiki kabel dasar laut demi mengembalikan keyakinan pelabur dan menarik pelaburan berteknologi digital yang tinggi. 

Bulan lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Anthony berkata, kerajaan akan melaksanakan semula dasar pengecualian kabotaj yang sebelum ini telah ditarik oleh kerajaan terdahulu di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Dengan pelaksanaan semula pengecualian kabotaj itu, kapal-kapal bukan Malaysia dijangka dikecualikan daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1), jika terlibat dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan negara ini.

Dasar kabotaj diperkenal kerajaan pada 1980 yang mengehadkan perkhidmatan pengangkutan kargo, penumpang, sebarang bentuk pembekalan perkhidmatan perkapalan dan maritim merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (200 batu nautika dari garis pangkal pantai sesebuah negara) kepada kapal-kapal pendaftaran Malaysia sahaja.

Ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada perkapalan asing, mengekalkan industri perkapalan dan pembuatan kapal Malaysia dan hanya kapal berdaftar dan milik Malaysia boleh menggunakan laluan pelayaran domestik melainkan pengecualian diberikan.

Pemasangan kabel internet dasar laut amat penting bagi membekalkan kapasiti internet sangat diperlukan selain meningkatkan keupayaan dan capaian di rantau Asia Pasifik.

Malaysia sebelum ini dilapor terlepas peluang daripada terlibat bagi projek dasar laut Apricot sejauh 12,000 kilometer, yang menghubungkan Guam, Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Singapura – akibat dasar kabotaj yang belum diselesaikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN