MARAN: Kadar upah buruh tinggi dan kenaikan harga baja antara 10 tuntutan peneroka yang mahukan campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sepuluh isu yang menjadi tuntutan membabitkan peneroka Felda di 317 rancangan seluruh negara yang sehingga masih kini berlarutan seolah-olah tiada penyelesaian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Pengerusi Biro Sosial Ketua-Ketua Peneroka Gabungan Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, peneroka Felda seluruh negara begitu berharap Perdana Menteri dapat mengatasi masalah tradisi itu yang dianggap ‘duri dalam daging’ buat mereka.
Tegasnya, isu utama membabitkan Kos Operasi Ladang (KOL) yang tinggi ekoran kadar upah buruh tinggi dan kenaikan mendadak baja serta racun.
“Kadar upah buruh boleh mencecah RM110 satu tan metrik berikutan permintaan tinggi buruh yang membebankan peneroka.
“Peneroka dalam dilema berikutan ladang yang diserahkan kepada agensi tidak diurus dengan sempurna. Ada ladang yang semak, tidak berbaja dan pokok tidak diselenggara dengan baik, ” katanya di sini semalam.
Razak menambah, isu kegagalan projek rumah generasi baru Felda masih menghantui pemikiran golongan muda sedangkan keperluan semakin mendesak.
Beliau berkata, isu pengisian lot kosong ladang dan dalam rancangan juga diperdebatkan tanpa ada penyelesaian secara tuntas.
Tambah beliau, isu lain yang berbangkit tentang tiada kebenaran membina rumah kedua dalam lot rumah sekarang.
“Kebenaran dari Felda perlu berikutan generasi kedua dan ketiga mahukan kediaman sendiri,” katanya.
Beliau berkata, para peneroka juga berharap agar harga lantai kelapa sawit ditetapkan RM1,500 satu metrik tan berbanding harga pada ketika ini sekitar RM800 satu metrik tan.
Razak yang juga Ketua Peneroka Felda 24 mencadangkan pemberian insentif khas hari raya secara tradisi bukan diberi setelah dirayu atau bantahan daripada peneroka.
Ketua Peneroka Felda Jengka 6, Saharuddin Lela, 65, berharap Felda dapat menstruktur semula kedai-kedai mara dengan bangunan baru dan menyelesaikan kedai-kedai haram dalam rancangan.
Menurutnya, bangunan baharu akan mewujudkan perkampungan Felda yang ceria dan seronok didiami bukannya berada dalam era 1970-an atau 1980-an.
Ketua Peneroka Felda Jengka 10, Jantan Mat Saman, 70, berharap Felda terus berkempen supaya peneroka mengamalkan petik buah sawit masak yang mempengaruhi kadar perahan minyak (OER) dengan kadar perahan 21 peratus ke atas.
Beliau berkata, isu lain yang sering membingungkan ialah berkaitan pertukaran geran kepada pewaris yang layak terlalu lambat dan pelbagai kerenah serta birokrasi. – UTUSAN










