Penempatan haram Bandar Ainsdale: PATI terus tinggal selepas permit tamat - Utusan Malaysia

Penempatan haram Bandar Ainsdale: PATI terus tinggal selepas permit tamat

KAWASAN di sekitar sebuah penempatan haram di Bandar Ainsdale, Seremban yang diserbu Jabatan Imigresen. kelmarin-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di Bandar Ainsdale di sini yang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia semalam didiami oleh rakyat warga Indonesia yang majoritinya beragama Islam dan bekerja sebagai buruh di kawasan perumahan berhampiran.

Tinjauan mendapati laluan masuk ke penempatan haram itu perlu melalui jalan tanah merah dengan kawasannya sedikit berbukit.

Struktur rumah diperbuat daripada kayu dan terdapat kemudahan surau dan kedai runcit untuk kemudahan penduduk.

Seorang penghuni warga Indonesia, Safir, 32, yang tinggal di situ sejak tujuh bulan lalu berkata, kawasan itu kini sunyi selepas bapa saudara dan rakan-rakannya ditahan oleh Jabatan Imigresen kerana tiada permit sah.

“Saya tidak ditahan kerana ada permit kerja, kebanyakan yang tinggal sini orang Indonesia berasal dari etnik Jawa, Madura dan Flores yang beragama Islam.

“Saya tinggal di sini sebab lebih jimat dan selesa ada ramai kawan jika dibandingkan tiggal di luar,” katanya ketika ditemui di kawasan penempatan haram itu di Bandar Ainsdale di sini, semalam.

Rata-rata penghuni menggunakan bekalan air bukit yang disimpan serta set generator untuk menghidupkan elektrik pada waktu malam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, berdasarkan siasatan penempatan haram yang dibina sejak beberapa tahun lalu dan berkeluasan satu ekar (0.4 hektar) itu dipercayai dijadikan ‘perkampungan’ PATI walaupun kontrak kerja mereka telah tamat.

“Sebelum ini, ada antara PATI ini yang bekerja sebagai pekerja buruh di kawasan berhampiran, tetapi apabila projek (perumahan) telah selesai mereka tidak pulang ke negara asal dan terus tinggal di situ. 

“Memang masa itu mereka bekerja secara sah, tetapi apabila permit kerja tamat ada yang tidak pulang sebab itu kami ambil tindakan kerana tinggal lebih masa di negara ini di bawah Seksyen Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Kennith, penempatan haram itu dipercayai dibina kurang daripada tempoh lima tahun dan majoriti penghuninya adalah warga Indonesia beragama Islam.

“Hasil siasatan mendapati, selepas permit kerja buruh tamat mereka mengambil upah kerja dengan gaji harian bagi meneruskan hidup,” katanya.

Jelas beliau, daripada segi kemudahan penempatan haram di Bandar Ainsdale ini lebih mudah akses dengan jarak ke jalan utama lebih dekat.

“Jika dibandingkan dengan penempatan haram di Nilai Spring yang diserbu awal bulan lalu, kawasan ini kurang mencabar dan lebih mudah untuk masuk,” katanya.

Beliau berkata, proses siasatan sedang dijalankan dan pihaknya akan mengambil keterangan kesemua PATI yang ditahan serta pihak pemaju.

KAWASAN penempatan haram warga asing yang terletak berhampiran Bandar Ainsdale, Seremban yang diserbu dalam satu operasi bersepadu awal pagi kelmarin.-GAMBAR/JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA

Kelmarin media melaporkan, sebuah lagi penempatan haram PATI di Negeri Sembilan diserbu dalam operasi bersepadu di sebuah kawasan berhampiran Bandar Ainsdale di sini.

Dalam serbuan pukul 1 pagi di kawasan berbukit berkeluasan kira-kira dua padang bola sepak itu berjaya menahan 32 orang PATI yang terdiri daripada 16 orang lelaki, 15 wanita dan seorang kanak-kanak.

Mereka yang ditahan diadapati melakukan kesalahan antaranya tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

Sementara itu, Pegawai Daerah Seremban, Mohd. Nizam Tajul Arus berkata, penempatan haram PATI yang diserbu itu dikesan dibina atas tanah milik persendirian iaitu sebuah syarikat pemaju.

“Tanah itu bukan milik kerajaan, tapi tanah persendirian iaitu milik sebuah syarikat pemaju. Kami tidak pasti sama ada pihak pemaju tahu sama ada kawasan itu kini sudah menjadi penempatan warga asing atau tidak dan siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mana-mana pemilik tanah bertanggungjawab memastikan tanah mereka tidak diceroboh dan dijadikan penempatan haram oleh mana-mana pihak. 

Mohd. Nizam juga yakin pihak berkuasa sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi membasmi kewujudan penempatan haram bukan saja di daerah Seremban tetapi juga di seluruh negeri. –UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya