Harga MSM diunjur kekal tinggi pada RM4,350

Harga MSM diunjur kekal tinggi pada RM4,350

HLIB mengulangi saranan ‘overweight’ terhadap keseluruhan sektor perladangan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) mengekalkan unjuran harga purata minyak sawit mentah (MSM) bagi tahun 2026 pada paras tinggi iaitu RM4,350 setiap tan, ekoran sokongan daripada harga minyak mentah global yang kukuh.

Bank pelaburan berkata, walaupun tekanan kos akibat ketegangan di Asia Barat semakin meningkat, sentimen pendapatan jangka pendek sektor perladangan Malaysia masih disokong oleh harga MSM yang stabil serta unjuran pengeluaran tandan buah segar (TBS) yang berdaya tahan.

“Bagaimanapun, kami memberi amaran bahawa kitaran kenaikan semasa berkemungkinan bersifat ‘front-loaded’, dengan risiko jangka sederhana berpunca daripada pelarasan bekalan minyak sayuran pesaing,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut HLIB, sektor perladangan mencatatkan prestasi pendapatan suku tahunan yang bercampur-campur, dengan empat daripada tujuh syarikat di bawah liputannya merekodkan keputusan kewangan yang menepati jangkaan.

Sebaliknya, tiga syarikat perladangan termasuk Genting Plantations Bhd. (GENP), Johor Plantations Group Bhd. (JPG) dan TSH Resources Bhd. mencatatkan pendapatan di bawah unjuran dalam musim keputusan kewangan suku tahunan yang baru sahaja berakhir.

“Bagi GENP dan TSH Resources, pengeluaran TBS yang lebih rendah daripada jangkaan menjadi faktor utama kepada kelemahan keputusan kewangan tersebut,” katanya.

Di sebalik perkembangan itu, bank pelaburan mengulangi saranan ‘overweight’ terhadap keseluruhan sektor perladangan negara.

HLIB menjangkakan harga komoditi berkenaan akan kekal tinggi pada paras RM4,500 hingga RM4,600 per mt pada suku kedua 2026 sebelum mula menurun memasuki suku ketiga tahun ini.

Dalam pada itu, andaian harga MSM bagi jangka panjang dikekalkan tidak berubah pada RM4,200 per mt bermula tahun 2027 dan seterusnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN