Pemimpin wanita lain tak pernah lalui seperti zaman saya – Noraini

‘Masa untuk kita bertaut, cukuplah bernostalgia’

NORAINI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sudah sampai masa untuk sayap Wanita UMNO bertaut kembali dan tidak lagi membangkit persoalan sama ada sayap Wanita lemah atau sebaliknya, tegas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, semua pihak berhak untuk bercakap apa sahaja tentang Wanita, namun hanya beliau yang tahu apa yang sebenarnya berlaku kerana UMNO berada dalam keadaan lemah sewaktu beliau mengambil alih kepemimpinan sayap itu.

“Persoalan dan kenyataan ini sebenarnya subjektif. Mereka boleh bertanyakan apa sahaja dan mengatakan apa sahaja. Saya tidak terkilan sebab saya menerajui Wanita UMNO ketika kita hilang kuasa.

MANIFESTASI

“Apa yang saya lalui sebelum ini tidak pernah dilalui oleh mana-mana pimpinan Wanita sebelum ini. Alhamdulillah, kemenangan ini adalah manifestasi sokongan Wanita UMNO di seluruh negara. Ini bukan masa untuk kita lemah, kita terkesan dengan kritikan-kritikan itu. Ini masa untuk kita bangkit,” katanya.

Semalam, Noraini berjaya mengekalkan jawatan itu untuk penggal kedua selepas mendapat undian daripada 106 bahagian, sekali gus mengatasi pencabar tungggalnya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang juga pernah menerajui sayap UMNO itu.

Mengulas lanjut mengenai pembaharuan dalam sayap Wanita, Noraini turut berkata, beliau akan memastikan segala perancangan lama diteruskan serta dilaksanakan dengan baik.

“Apa yang kita hendak laksanakan ini bukanlah pembaharuan tetapi kita hendak memperkemaskan dan menambah baik struktur sedia ada serta melaksanakan apa yang telah dirancang sebelum ini.

“Sebagai contoh jika dahulu kita buat kajian sikap secara manual, kini sudah menggunakan teknologi terkini, yang mudah diakses, disemak dan dipantau dengan ketetapannya lebih diyakini. Teknologi ini cepat berkembang dan kita perlu ikut peredaran dan kesesuaian zaman.

“Tidak cukup dengan itu, kita telah merancang untuk meningkatkan keternampakan wanita melalui pemantapan gerak kerja media sosialnya. Kita telah juga merancang untuk melebarkan penglibatan dan sentuhan Skuad Sayang dengan menjadikan Skuad Sayang sebagai badan sukarelawan terunggul di Malaysia.

“Apabila saya diberi ruang sekali lagi, saya kena memastikan apa yang dirancang dan te­lah digerakkan sebelum ini dapat direalisasikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN