Pelaburan tidak wujud di Facebook, empat lelaki diburu - Utusan Malaysia

Pelaburan tidak wujud di Facebook, empat lelaki diburu

AHMAD Dzaffir Mohd. Yussof menunjukkan gambar empat lelaki yang sedang diburu polis bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan tidak wujud di Facebook dalam sidang akhbar di IPK Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis Kontinjen Negeri Sembilan sedang memburu empat orang lelaki bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan tidak wujud di Facebook yang melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM5.3 juta di seluruh negara.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pada 20 dan 22 Februari lalu, dua mangsa iaitu seorang pesara berusia 71 tahun dan seorang akauntan syarikat swasta berusia 49 tahun telah membuat laporan polis selepas didakwa ditipu oleh sindiket pelaburan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

“Mangsa didakwa telah ditipu dalam pelaburan yang ditawarkan melalui Facebook, kemudian mangsa telah dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp seterusnya dijanjikan pelaburan yang tinggi.

“Mangsa pesara seorang lelaki telah mengalami kerugian RM1.2 juta manakala akauntan wanita ditipu sebanyak RM200,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, setakat ini pihak polis telah mengesan sebanyak 25 kes modus operandi sama melibatkan mangsa-mangsa di negeri lain sepanjang bulan Februari lalu melibatkan kerugian RM5.3 juta.

Ahmad Dzaffir berkata, susulan daripada laporan polis itu empat lelaki sedang diburu bagi membantu siasatan kes pelaburan tidak wujud yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

“Empat yang diburu ialah V.Paramesvaran, 38, dari Setapak Kuala Lumpur, Muhammad Subris Abdullah, 55 (Batu Gajah, Perak), Muhammad Asyraf Mohd. Hissam, 27, (Damansara Damai Sungai Buloh, Selangor) dan Muhammad Sabran Alias, 38, (Chemor, Perak).

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Mohammad Ariff Jamaluddin di talian 06-7612222 atau 019-4005037,” katanya.

GAMBAR empat lelaki yang sedang diburu polis bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan tidak wujud di Facebook.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir memberitahu, kes jenayah komersial di Negeri Sembilan didapati meningkat tahun lalu iaitu membabitkan kerugian sebanyak RM62.51 juta.

“Sebanyak 2,833 kes jenayah komersial dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 107 kes berbanding tahun sebelumnya sebanyak 2,726 kes iaitu pertambahan kerugian RM19.39 juta.

“Tiga kes menunjukkan peningkatan ketara iaitu penipuan telekomunikasi pertambahan 318 kes, penipuan pelaburan tidak wujud peningkatan 93 kes dan penipuan e-financial fraud meningkat 38 kes,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, kes belian atau e-dagang penipuan pula mencatatkan peningkatan jumlah kerugian RM1.55 juta dan kes pelaburan pertambahan RM862,000 berbanding tahun lalu.

Sementara itu, beliau berkata, dari segi tangkapan, sepanjang tahun lalu, seramai 1,425 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan kes melibatkan jenayah komersial yang mana 469 orang telah dituduh di mahkamah berbanding 1,223 orang tahun sebelumnya dan 872 dituduh di mahkamah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.