Padah jual petrol RON95 kepada warga asing, pemilik stesen didenda RM40,000 - Utusan Malaysia

Padah jual petrol RON95 kepada warga asing, pemilik stesen didenda RM40,000

PHAN CHIB CHAN didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan membenarkan kenderaan pendaftaran asing mengisi minyak petrol bersubsidi RON95, empat tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gara-gara membenarkan pemandu kenderaan pendaftaran asing mengisi petrol RON95 berjumlah RM113.30 di Jalan Tun Abdul Razak, Susur 4, di sini, empat tahun lalu, pemilik stesen minyak didenda RM40,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini.

Phan Chib Chan, 59, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Kes tersebut merupakan pendakwaan pertama bersabit kesalahan penyelewengan minyak bersubsidi di Malaysia.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chib Chan didapati telah gagal mematuhi arahan yang menyatakan bahawa kenderaan bernombor pendaftaran asing tidak dibenarkan membuat pengisian petrol RON95 pada pukul 10.40 pagi di premis beralamat di 13-A, Jalan Tun Abdul Razak, Susur 4 pada 13 Mei 2019.

Berdasarkan fakta kes, Chib Chan membenarkan pengisian petrol sebanyak 54 liter bernilai RM113.30.

Perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara dalam tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Ikhlas Raja Ariff, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Lim Chon Sim. 

Dalam hujahnya, Muhamad Sabiq memberitahu bahawa tertuduh pernah dikenakan tindakan kompaun dua kali sebelum ini atas kesalahan sama.

Dalam pada itu, Che Wan Zaidi memberitahu, hukuman denda RM40,000 itu sebagai pengajaran kepada tertuduh serta pemain industri yang lain.

“Ketirisan subsidi ini dengan bantuan pengusaha stesen minyak telah menyebabkan kerugian pada negara. Hujahan pendakwaan menyatakan pada 2019 kerajaan membelanjakan RM2 bilion untuk subsidi.

“Kejadian itu menyebabkan kerugian besar pada negara dan rakyat Malaysia. Oleh itu, sebagai pengajaran kepada kamu dan pemain industri yang lain, supaya tak buat kesalahan yang sama,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.