KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal dengan pendirian untuk menggunakan saluran diplomasi bagi berunding dengan pihak berkuasa Myanmar untuk menyelesaikan isu pelarian di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah menjemput dan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Myanmar adalah bagi memastikan proses penghantaran pulang dapat dijalankan dengan selamat serta teratur.
”Saya terima beberapa pandangan tentang kebimbangan mereka untuk membawa pelarian ini pulang. Sebab itu dalam rundingan kita, kita mengikat semua perkara ini. Senang untuk cakap jangan bawa pulang, tetapi ratusan ribu pelarian ini kita nak letak di mana?
”Orang nak hantar balik ke negara asal mereka, jadi apa yang kita mahu sekarang ialah syarat keselamatan dipatuhi. Sebab itu kita jemput untuk berunding. Kalau tidak, semua pihak hanya tahu mengkritik dan mencadangkan bantahan tanpa ada sebarang penyelesaian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Malaysia Professional Day di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Malaysia dipercayai mula menghantar kira-kira 1,500 pelarian Myanmar pada Selasa menerusi fasa pertama program penghantaran pulang yang mencetuskan kebimbangan kumpulan hak asasi manusia.
Mereka adalah kumpulan pertama dari 5,000 warga Myanmar yang menurut kerajaan Malaysia bersetuju untuk dihantar pulang secara ‘sukarela’ daripada pusat tahanan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, konflik di Myanmar telah berlarutan selama berdekad-dekad tanpa penyelesaian dan jumlah pelarian semakin meningkat.
Oleh itu, katanya Malaysia mengambil inisiatif untuk memanfaatkan platform diplomatik.
”Tiada negara yang boleh menerima ratusan ribu atau jutaan pelarian begitu sahaja. Pendirian kita adalah untuk melindungi kebajikan, hak asasi manusia serta keselamatan mereka semasa proses ini. Justeru, tindakan kita mengambil inisiatif berunding ini wajar dinilai secara adil,” katanya. – UTUSAN











