MELAKA: Koperasi Keluarga Hajah Che Me Melaka Berhad (Kocheme) menjadi koperasi pertama di negeri ini menembusi pasaran United Kingdom (UK) menerusi produk Minyak Kelapa Dara Melaka.
Pengerusinya, Junaidah Ibrahim, 69, berkata, produk yang diusahakan sejak setahun lalu itu memasuki UK pada Januari lalu dan dijual melalui platform beli-belah dalam talian, UK Halal Street.
Dia mengambil peluang meneroka pasaran luar negara selepas proses kemasukan produk lebih mudah tanpa perlu ada sijil halal dan kelulusan Kementerian Kesihatan.
“Di Malaysia semua syarat penjualan produk mesti dipatuhi, tetapi proses untuk mendapatkannya bukan mudah selain mengambil masa untuk diluluskan. Saya kini sedang memohon sijil halal dan kelulusan Kementerian Kesihatan yang akan dibuat secara berperingkat secepat mungkin.
“Semasa dapat tawaran menjual minyak kelapa dara ke UK, saya terus terima tawaran kerana komuniti Islam di sana dianggarkan sekitar 75,000 orang. Kaedah jualan di sana sama seperti di Malaysia yang mana pelanggan membeli dalam talian dan produk dihantar operator kepada mereka.
“Buat masa ini hanya satu produk yang disenaraikan dalam katalog UK Halal Street, namun telah ada perancangan untuk mempelbagaikan produk seperti syampu, sabun dan minyak urut berasaskan minyak kelapa dara. Saya sasarkan tempahan 1,000 botol sebulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Program Turun Padang Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi 2023 di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini.
Kata Junaidah, pada awalnya Kocheme yang ditubuhkan pada 2010 dan berpusat di Lendu, Masjid Tanah menjalankan perniagaan berteraskan sektor pelancongan.
Bagaimanapun, Covid-19 yang melanda negara pada Mac 2020 menyebabkan perjalanan koperasi terjejas, susulan sekatan pergerakan serta kemasukan pelancong.
“Waktu itu saya buntu memikirkan apa yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan. Saya perlu memikirkan perniagaan baharu yang dapat memberikan pulangan kepada ahli koperasi seramai 25 orang.
“Pada mulanya saya bercadang untuk mengusahakan tanaman herba, tetapi berubah fikiran apabila melihat potensi minyak kelapa dara. Dengan bimbingan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) menerusi tiga fasa, saya berjaya mengeluarkan produk dan memasarkan ke peringkat antarabangsa,” jelasnya. – UTUSAN










