Op Pantau: KPDN periksa 1,839 premis sejak semalam - Utusan Malaysia

Op Pantau: KPDN periksa 1,839 premis sejak semalam

AZMAN Mohd. Yusof (kanan) bertemu peniaga ketika mengadakan walkabout Pelaksanaan Op Pantau 2023 di Bazar Ramadan Pusat Perniagaan Bandar Prima Senawang, Seremban petang tadi.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 1,839 buah premis telah diperiksa sejak semalam di seluruh negara dalam pelaksanaan Op Pantau 2023 oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, daripada pemeriksaan tersebut sebanyak tiga kes telah dikesan atas pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun yang dikenakan sebanyak RM600.

“Semua premis-premis ini kami semak daripada segi pematuhan undang-undang terpakai, daripada situ hanya tiga kes sahaja didapati melakukan kesalahan. Ia melibatkan kes berkaitan tanda harga, alat penimbang telah luput dan satu kesalahan kecil lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan walkabout Pelaksanaan Op Pantau 2023 di Bazar Ramadan Pusat Perniagaan Bandar Prima Senawang di sini petang tadi.

Op Pantau 2023 dilaksanakan secara seragam dan berfokus bermula 23 Mac sehingga 21 April nanti dengan tumpuan operasi seperti di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti jualan dalam talian.

Pemeriksaan memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2023.

Sementara itu, Azman menambah, menerusi operasi yang dijalankan, pihaknya turut mengambil maklumat berkaitan bekalan daripada peniaga-peniaga yang ditemui.

“Sebagai contoh kami bertanyakan sama ada bekalan ayam mudah mereka peroleh ataupun tidak. Kami akan pastikan sebagai persediaan bulan Ramadan dan juga Aidilfitri ini bekalan ayam cukup dan jika berlaku kekurangan bekalan, kami akan cepat berbincang pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk pastikan bekalan ayam itu cukup,” tambah beliau.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.