Nasib penjaja kecil Lembah Klang tidak menentu

Nasib penjaja kecil Lembah Klang tidak menentu

PENJAJA kecil banyak mendapat manfaat sejak kerajaan membenarkan mereka berniaga di tepi-tepi jalan semasa fasa pemulihan ekonomi selepas PKP Covid-19. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 25,000 penjaja kecil tidak berlesen di Lembah Klang bimbang dengan masa depan mereka yang tidak menentu ekoran pihak berkuasa tempatan (PBT) semakin aktif merobohkan gerai mereka sejak akhir-akhir ini.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah berkata, kebanyakan mereka dalam kalangan yang dibenarkan berniaga oleh kerajaan semasa fasa pemulihan ekonomi selepas berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 dan hilang pendapatan ketika itu.

“Lesen bebas berniaga diberikan kepada mereka pada waktu itu dan lesen tersebut masih boleh diteruskan ketika fasa pemulihan negara. Namun begitu, lesen yang diberikan itu dilarang digunakan pada waktu ini dan tidak boleh diperbaharui,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, terdapat 25,000 penjaja berlesen di Kuala Lumpur dan lebih daripada 25,000 lagi tidak berlesen.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagaimanapun peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL yang ditawarkan secara percuma.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, penjaja terlibat masih berniaga di kawasan larangan atau tanah rizam kerajaan dan kelemahan dalam pengurusan PBT serta kekurangan fasiliti untuk penjaja kecil meletakkan mereka kini dalam dilema.

“Disebabkan sudah selesa dan senang untuk memperoleh pendapatan, mereka memilih untuk kekal berniaga di kawasan larangan,” tambahnya.

Jelasnya, sepatutnya kerajaan dan PBT perlu mengkaji semula masalah peniaga terlibat apabila lesen tersebut ditarik semula.

“Sepatutnya PBT membantu menyelesaikan permasalahan mereka, seiring dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang menggalakkan masyarakat bersama-sama memakmurkan ekonomi negara,” ujarnya.

Perdana Menteri Disember lalu menyatakan, setiap projek pembangunan di bandar besar perlu menyediakan infrastruktur untuk penjaja dan peniaga kecil berniaga dah bukan semata-mata mengutamakan perniagaan besar sahaja.

Perdana Menteri memberi contoh, bandar raya seperti Kuala Lumpur tidak boleh meminggirkan penglibatan kemudahan bagi memacu ekonomi penjaja dan peniaga kecil yang turut mewakili golongan berpendapatan rendah.

“Tindakan melarang mereka daripada berniaga dan bertindak merobohkan gerai mereka adalah satu tindakan yang tidak adil.

“Jangan ada sikap ‘double standard’ yang melarang peniaga tempatan berniaga manakala orang asing boleh sahaja membuka sebarang perniagaan di negara ini,” katanya.

Mohamad menambah, peniaga kecil jugalah yang membantu kebanyakan rakyat berpendapatan rendah kerana harga yang dijual sesuai dengan bajet mereka.

Beliau berkata, perobohan gerai tanpa membayar ganti rugi adalah tidak wajar selepas peniaga mengeluarkan modal untuk membeli gerai dan khemah untuk mereka berjual.

Ditanya tentang bantuan kepada peniaga kecil dan penjaja, Muhammad berkata, memang ada bantuan yang kepada mereka, tetapi proses permohonan mungkin merumitkan para pemohon.

“Jenis bantuan adalah dari segi pinjaman untuk modal dan perniagaan, namun proses tersebut menyusahkan peniaga terutama mereka yang sudah berusia,” katanya.

Beliau mencadangkan agar bantuan yang diberikan kepada peniaga dipermudahkan seperti mana bantuan yang diberikan kepada penjaja ketika PKP sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN