Mohd. Hairi serah kepada JPU, mahu pertandingan telus - Utusan Malaysia

Mohd. Hairi serah kepada JPU, mahu pertandingan telus

Mohd. Hairi Mad Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
JOHOR BAHRU: Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah menyerah sepenuh kepercayaan kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Pusat berkaitan insiden yang berlaku dalam pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru, semalam.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin sentiasa berlapang dada dan akan menerima sebarang keputusan yang dibuat jawatankuasa berkenaan.
 
Menurutnya, bantahan dibuat bertujuan memastikan tiada sebarang salah laku dilakukan oleh mana-mana pihak, bukan sahaja dalam pemilihan semalam, malah juga untuk masa akan datang.
 
“Saya akur sekiranya kalah, tetapi saya mengambil keputusan untuk membuat bantahan bukan disebabkan itu, sebaliknya untuk memastikan proses pemilihan berjalan dengan telus. Menang atau kalah semua pihak perlu terima.
 
“Jadi, tindakan diambil bertujuan untuk memastikan proses peremajaan UMNO, khususnya di bahagian Johor Bahru berlaku bagi meneruskan kesinambungan legasi Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
 
Mohd. Hairi memberitahu, semasa pendaftaran perwakilan seramai 523 perwakilan mendaftar sebelum dua lagi perwakilan membuat pendaftaran lewat menjadikan jumlah keseluruhan perwakilan 525 orang bagi proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru.
 
“Selepas kiraan dibuat, keputusan Naib Ketua Bahagian dimenangi dengan jumlah 585 undi, manakala jawatan Timbalan Ketua Bahagian pula dimenangi dengan jumlah 574 undi serta jawatan Ketua Bahagian pula dimenangi dengan jumlah 591 undi.
 
“Jelas, jumlah undi itu melebihi daripada jumlah perwakilan berdaftar, iaitu seramai 525 pada awalnya. Jadi, bantahan dibuat bertujuan untuk memastikan ketelusan dalam proses pemilihan di bahagian ini,” jelasnya.
 
Mohd. Hairi menegaskan, pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada JPU Pusat dan bersedia supaya proses pemilihan dijalankan semula secara telus dan seimbang buat kesemua pihak yang bertanding.
 
“Namun buat waktu ini, Tan Sri Shahrir akan mengambil tanggungjawab selaku ‘caretaker’ Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru ini sehingga pemilihan baharu dijalankan semula.
 
“Ini kerana pengumuman Pengerusi Tetap semalam adalah tiada mana-mana pihak yang menang atau kalah, sebaliknya prosesnya ditangguh dan digantung,” katanya.
 
Pertandingan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru antara Mohd. Hairi dan Datuk Yahya Jaafar yang merupakan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.