Mayat `anak’  nyaris dibakar tiba-tiba dimaklum masih hidup  - Utusan Malaysia

Mayat `anak’  nyaris dibakar tiba-tiba dimaklum masih hidup 

Dayalan Sreebalan (kanan) bersama kedua ibu bapa menunjukkan gambar C. Lakshman yang sudah siap dibingkaikan untuk proses pembakaran mayat ketika ditemui di Taman Desa Permai Repah, Tampin semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Sepasang suami isteri terkejut dan bingung  apabila  anak mereka, C. Lakshman, 19, yang mahu disemadikan selepas meninggal dunia di Penjara Sungai Buloh  akibat kegagalan paru-paru tiba-tiba `hidup’ semula.

Mayat Lakshman yang meninggal dunia pada 2 Mac sudah  dibawa pulang dari Hospital Sungai Buloh malam kelmarin dan semasa urusan menyemadikan mendiang, tiba-tiba ahli keluarga  menerima panggilan dari Penjara Sungai Buloh memberitahu anak mereka masih hidup.

Wakil keluarga yang juga Pengerusi Malaysian Indian Action Force (MIAForce), Dayalan Sreebalan berkata, keluarga berkenaan kini bukan hanya tidak mengetahui mayat siapakah yang dibawa pulang bahkan sudah berbelanja ribuan ringgit sebagai persediaan mengebumikan mayat yang bukan anak mereka.

Malah menurut beliau, kesilapan tertukar identiti mayat berkenaan bukanlah sesuatu yang `main-main’  kerana kecuaian tersebut memberi kesan kepada emosi ahli keluarga yang terpaksa datang dari Johor ke Sungai Buloh bagi menguruskan mayat yang bukan anak mereka.

Kata Dayalan, pihak keluarga berkenaan  bingung kerana tidak selama ini tidak  mengetahui bahawa anak mereka ditangkap dan sedang berada di penjara.

MASIH HIDUP

“Tiba-tiba memaklumkan anak mereka sudah mati dan kemudian  masih hidup.

“Sampai sekarang mereka masih trauma, hanya beberapa jam sebelum upacara membakar mayat, mereka terima panggilan dari pihak penjara memaklumkan anak mereka masih hidup,” kata beliau  ketika ditemui di Taman Desa Permai Repah di sini semalam.

Susulan itu, kata Dayalan, bapa kepada tahanan yang masih hidup telah membuat laporan polis kerana masalah yang mencetuskan kekeliruan.

Difahamkan, pihak keluarga terbabit memilih untuk menguruskan pengebumian di rumah salah seorang saudara mereka  di Tampin susulan negeri Johor kini dilanda banjir.

Sementara itu, A. Chantren, 45, iaitu bapa kepada Lakshman berkata, dia menerima panggilan telefon daripada pihak Penjara Sungai Buloh pada 3 Mac  yang memaklumkan anaknya telah meninggal dunia pada 2 Mac dan proses bedah siasat dijalankan di Hospital Sungai Buloh.

“Jadi kami ke hospital untuk melihat mayat Lakshman  pada 4 Mac namun pihak berkenaan tidak membenarkan kami berbuat demikian kerana perlu terus menandatangani terlebih dahulu borang yang disediakan,” katanya.

Katanya, dia dimaklumkan anak tersebut adalah mayat anaknya dan semasa melihat dia sendiri bingung kerana keadaan fizikal mayat sudah botak serta berubah disebabkan sudah meninggal dunia beberapa hari.

DIBAKAR

“Hanya beberapa jam sebelum dibakar kami terima panggilan dari penjara memaklumkan anak masih hidup. Saya masih tertanya-tanya dan rupanya anak saya ditangkap pada 28 Februari lalu,” katanya.

Kata Chantren lagi, anaknya itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan pada bulan Jun tahun lalu, anaknya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di pasar borong.

Menurutnya, kali terakhir mereka berhubung pada 25 Februari lalu namun selepas itu anaknya gagal dihubungi.

Ia sehinggalah mereka mengetahui keadaan anaknya apabila dihubungi penjara memaklumkan anaknya sudah meninggal dunia dan diarahkan menuntut mayat di hospital.

Tinjauan ke lokasi mendapati pihak penjara sudah sampai ke lokasi sekitar pukul 3 petang bagi mengambil  semula mayat  yang bukan  Lakshman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.