ALOR SETAR: Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menawarkan diri untuk bertanding Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah dalam pemilihan parti berlangsung hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Baling itu bakal berentap dengan penyandang jawatan tersebut, Noor Hasita Mat Isa.
Mashitah yang mesra dengan panggilan Mak Teh berharap untuk mendapat sokongan daripada seluruh perwakilan bahagian itu bagi meneruskan perjuangan kepada parti.
“Mak Teh berharap agar mendapat restu daripada kepimpinan wanita dan sokongan rakan seperjuangan agar kita dapat mengubah serta memelihara parti keramat tercinta kita,” katanya di sini, semalam.
Mashitah, 58, turut menawarkan diri bertanding sebagai Exco Wanita UMNO di peringkat pusat.
Beliau menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi dalam pertembungan lima penjuru.
Sebelum ini, Mashitah pernah berkhidmat sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Baling pada PRU 2004 serta dilantik sebagai Senator pada 2008.
Sementara itu, Noor Hasita, yang juga ahli jawatankuasa sayap Wanita UMNO Kedah mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti sebelum ini dan berhasrat untuk dilantik semula ke jawatan itu.
Sebanyak 49 calon bertanding bagi jawatan ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri melibatkan 15 bahagian dalam pemilihan parti di Kedah. – UTUSAN










