Lelaki didakwa perdagang dua wanita Indonesia bagi tujuan eksploitasi seks - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa perdagang dua wanita Indonesia bagi tujuan eksploitasi seks

MUHAMMAD Soleh Abdullah (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan memperdagangkan dua wanita Indonesia untuk tujuan eksploitasi seks.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang mualaf didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Indonesia untuk tujuan eksploitasi seks antara bulan November 2022 hingga Mac 2023.

Tertuduh, Muhammad Soleh Abdullah, 36, yang merupakan pemilik kedai bingkai bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh bersama seorang yang masih bebas didakwa memperdagangkan dua wanita warga Indonesia, Yuli Yanti berusia 28 tahun dan Tri Handayani, 34, yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks.

Kesalahan itu dilakukan di antara November 2022 sehingga 11.50 malam pada 11 Mac 2023 di Taman Khaya 2, Bahau di Jempol.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga didenda.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi menawarkan jaminan tinggi kepada tertuduh sekiranya dibenarkan jaminan.

Menurut Hafizah, kedua-dua mangsa kini berada di rumah perlindungan di Kempas, Johor sehingga 1 April 2023.

Difahamkan, seorang lagi suspek yang masih bebas merupakan isteri kepada tertuduh yang merupakan warga Indonesia.

Sementara itu, peguam, M. Gobinathan yang mewakili tertuduh memohon jaminan munasabah diberikan bagi tujuan kehadiran ke mahkamah.

“Tertuduh merupakan pemilik kedai bingkai berpendapatan RM2,000 sebulan serta menanggung ibu bapa berusia 55 dan 58 tahun,” katanya pada prosiding kes di sini hari ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan.

Tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula pada 9 Mei depan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya