Kerajaan tidak buat dasar popularkan Anwar – Rafizi

Kerajaan tidak buat dasar popularkan Anwar – Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan membuat dasar yang boleh menyebabkan skala hutang melepasi tahap defisit negara semata-mata mahu memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan popular dalam kalangan rakyat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan bersedia untuk terus berbelanja besar namun ia akan dilakukan secara berhemah.

“Kerajaan akan terus ber­belanja besar, tetapi kita tidak akan berbuat demikian semata-mata untuk dapat sokongan rakyat dengan mengambil hutang besar supaya Perdana Menteri nampak popular sehingga melepasi tahap defisit yang dikira dalam keadaan berbahaya.

“Jadi, tidak timbul soal kerajaan tidak berbelanja tetapi yang penting ialah kerajaan berbelanja secara berhemah dan dapat nilai terbaik bukannya berbelanja melalui hutang secara buta,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) jika kerajaan mempunyai naratif supaya jangan berhutang, sedang­kan sepatutnya pentadbiran perlu berbelanja bagi meningkatkan hasil negara melalui kitaran ekonomi.

Kata Rafizi, kerajaan mempunyai cara tersendiri untuk menjaga kebajikan kumpulan rentan dan memulihkan ekonomi termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tanpa mengambil tindakan berhutang dan menambah beban seperti diamalkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Katanya, kerajaan tidak boleh mengambil hutang RM200 bilion hingga RM300 bilion dalam suasana kadar faedah antarabangsa lebih tinggi kerana ia akan menyebabkan pentadbiran dan generasi akan datang terpaksa mewarisi bayaran tinggi.

“Ia berkait dengan hutang akan datang yang kita ambil, jika tersasar daripada sasaran defisit yang kita ada, maknanya penarafan hutang kita lebih tinggi, maka setiap kali jika ada pentadbiran baharu yang mengambil pendekatan berhutang tanpa menjaga penarafan defisit, ia menyebabkan jumlah faedah perlu dibayar adalah berganda.

“Jika sekarang RM40 bilion, lima tahun lagi jadi RM60 bilion, adakah lebih baik untuk kita bayar hutang melalui bunga faedah sampai RM50 hingga RM60 bilion sedangkan wang itu kalau dibelanja secara berhemah dan dikawal hutangnya boleh membantu terus golongan rentan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN