Kerajaan pertimbang sedia LRT di Johor Bahru - Utusan Malaysia

Kerajaan pertimbang sedia LRT di Johor Bahru

ANTHONY LOKE SIEW FOOK (empat dari kiri) dan Mohamad Fazli (lima dari kiri) melakukan gimik pelancaran Pas Tanpa Had MyBAS dan Bas Awam Elektrik Pertama Johor, di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan jajaran pengangkutan sistem transit aliran ringan (LRT) bagi meningkatkan sistem pengangkutan lebih baik bersepadu di bandar raya ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya telah menerima cadangan daripada syarikat swasta bagi membina LRT di Johor Bahru.

“Kita akan pertimbangkan semua cadangan termasuk daripada pihak swasta. Baru-baru ini, kita telah menerima cadangan sebuah syarikat swasta yang telah menyatakan minat untuk membina kemudahan LRT di Johor Bahru,” katanya selepas melancarkan pas tanpa had MyBAS dan bas awam elektrik pertama Johor, di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Mengenai perkembangan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, Siew Fook memberitahu, pihaknya turut meminta Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) untuk memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual. 

“Perkembangan projek RTS Link Johor Bahru-Singapura berjalan lancar, walaupun terdapat sedikit kelewatan, namun pihak MRT Corp sedang membetulkan masalah tersebut. Saya telah memberi arahan dari semasa ke semasa agar projek bilateral antara dua negara ini dapat disiapkan pada penghujung 2026 dan seterusnya beroperasi pada 2027,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran dilaporkan berkata, pembinaan projek RTS Link Johor Bahru-Singapura di republik itu sudah mencapai tahap 45 peratus.

Dalam pada itu, Siew Fook memberitahu, kementeriannya telah mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan semua masalah dan isu teknikal yang dihadapi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di ibu kota.

“Dalam dua minggu yang lalu, memang LRT dan MRT mengalami beberapa kerosakan dan masalah teknikal yang memberikan gangguan kepada penumpang. 

“Saya berasa amat kesal dan memohon maaf kepada penumpang yang terbabit terutamanya warga kerja yang bergegas untuk ke pulang ke rumah untuk berbuka puasa. Sudah tentu apa yang berlaku pada waktu puncak semalam memberikan kesan kepada ramai penumpang,” katanya.

Malam tadi, Rapid Rail dilaporkan mengaktifkan perkhidmatan rel alternatif selepas perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan bekalan kuasa pada 7.50 malam.

Perkhidmatan rel alternatif itu beroperasi dengan semua tren dari arah Putra Heights berpatah balik ke Stesen LRT Pasar Seni manakala tren dari arah Gombak berpatah balik ke Stesen LRT Damai.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan akibat masalah bekalan kuasa membabitkan lima stesen bawah tanah antara stesen LRT Ampang Park dan Masjid Jamek sehingga menyebabkan fasiliti seperti lif, eskalator dan lampu tidak dapat berfungsi di stesen terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya