KAFA ‘mangsa’ modal politik

KAFA ‘mangsa’ modal politik

Laporan UTUSAN MALAYSIA 28 Mac 2023
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sejak lebih 30 tahun diwujudkan bermula 1990, program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) terus dijadikan ‘mangsa’ politik pihak tertentu , sekali gus mengabaikan nasib kira-kira 35,000 gurunya sehingga kini.

Upah atau elaun guru KAFA ketika ini hanya RM1,000 masih berada di bawah paras kemiskinan, tidak seperti penjawat awam lain yang mempunyai gred seperti mana ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sejak program itu diwujudkan, perjawatan guru KAFA masih berstatus jawatan kontrak sambilan yang dilantik dari tahun ke tahun dan mereka juga tidak mempunyai slip gaji atau sebarang dokumen kontrak yang sekali gus menyukarkan urusan pembelian kereta serta rumah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB), Muhd. Fadhli Jusoh berkata, isu KAFA akan kekal di takuk lama jika terus dijadikan ‘mangsa’ modal politik.

“Program KAFA kini telah lebih 30 tahun dan sudah membesar. Ia bukan lagi program sokongan seperti mana diwujudkan dulu. KAFA kini sudah jadi sistem yang besar dan utama.

“Peranan dipikul guru kelas itu ketika ini sama besar dengan golongan pendidik lain dalam memberikan pendidikan agama Islam.

“Hari ini semua ibu bapa cari KAFA dan ia sudah jadi sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan dan kehidupan masa kini,” katanya semalam.

Menurut Muhd. Fadhli, dengan hanya mengharapkan elaun sebanyak RM1,000 menyebabkan guru KAFA sentiasa terbeban bagi me­nyara kehidupan dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat.

Namun katanya, guru-guru agama berkenaan tiada pilihan lain selain terus menyumbang bakti dengan memberikan tumpuan kepada tugas mereka dan mengharapkan perhatian kerajaan bagi membantu mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN