Kadar VEP kekal - Siew Fook - Utusan Malaysia

Kadar VEP kekal – Siew Fook

ANTHONY LOKE SIEW FOOK (kiri) dan Mohamad Fazli menaiki bas elektrik pada Majlis Pelancaran Pas Tanpa Had MyBAS dan Bas Awam Elektrik Pertama Johor di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan tiada perancangan untuk menaikkan kadar bayaran permit masuk kenderaan (VEP) bagi kenderaan mempunyai pendaftaran Singapura yang memasuki ke negara ini melalui pintu masuk antarabangsa di Johor.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu hanya akan menyebabkan kerajaan Singapura turut menaikkan kadar bayaran bagi kenderaan Malaysia yang memasuki republik itu.

Justeru, VEP dikekalkan pada kadar RM20 bagi setiap kenderaan mempunyai pendaftaran Singapura ketika melalui Tambak Johor, di sini atau Lebuhraya LinKedua, Gelang Patah.

“Sekiranya, kalau kita tingkatkan kadar bayaran itu untuk kenderaan Singapura, maka kerajaan Singapura pun akan mengenakan cukai jalan yang lebih tinggi untuk kenderaan Malaysia yang masuk ke Singapura. 

“Dalam masa sama, kita juga nak menggalakkan kemasukan pelancong dari Singapura ke negeri ini supaya dapat menyumbang kepada ekonomi di Johor. Walaupun ada cadangan daripada wakil rakyat, tetapi setakat ini kementerian tak ada perancangan untuk meningkatkan kadar itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan pas tanpa had MyBAS dan bas awam elektrik pertama Johor di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Isnin lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad menyarankan supaya kerajaan menaikkan kadar VEP khusus bagi kenderaan Singapura yang mahu memasuki negara ini melalui pintu sempadan antarabangsa di negeri ini.

Beliau dilaporkan berkata, kenaikan itu wajar memandangnya kadar ketika ini amat rendah jika dibandingkan dengan tukaran mata wang negara jiran berkenaan.

“Justeru, saya cadangkan kadar bayaran dinaikkan kepada RM40 atau RM50 bagi setiap kenderaan, jika tidak dapat dibuat pada hari biasa, mungkin boleh dilaksanakan pada hujung minggu, iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya dalam sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Johor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

Siew Fook berkata, daripada kutipan bayaran yang dikenakan itu, RM15 untuk kerajaan Persekutuan, manakala bakinya disumbangkan kepada kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.