JOHOR BAHRU: Situasi banjir di negeri ini kian buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan melonjak menjadi 25,213 orang melibatkan 7,013 keluarga di 187 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding seramai 9,162 mangsa yang mendiami 90 PPS hingga pukul 8 malam tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, bencana banjir menjejaskan kesemua 10 daerah dengan daerah Segamat merekod paling ramai, iaitu 7,272 orang.
“Ini diikuti Kluang dengan 5,426 mangsa, Batu Pahat (3,236 ), Kota Tinggi (2,912), Johor Bahru (2,096), Muar (1,667), Kulai (952), Tangkak (930), Mersing (472) dan Pontian (250),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, seorang mangsa, K. Sarathkumar yang menetap di Kluang ditemukan lemas.
Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) masih menunjukkan seluruh negeri ini berada di bawah amaran bahaya, iaitu hujan sangat lebat berterusan.
Sebanyak 17 sungai turut diletakkan bawah kategori paras air berbahaya, antaranya Sungai Segamat, Sungai Labis dan Sungai Lenik, Segamat, Sungai Tangkak, Sungai Kesang dan Sungai Senduk di Tangkak, Sungai Bekok di Batu Pahat dan Sungai Kahang di Kluang.
Turut berada pada paras bahaya ialah Sungai Sayong, Sungai Skudai dan Sungai Pontian Besar di Kulai, Sungai Skudai di Johor Bahru dan Sungai Johor di Kota Tinggi.
Beliau memberitahu, dua laluan ditutup untuk semua jenis kenderaan, iaitu Jalan Kluang-Mersing dan Jalan Batu Pahat-Mersing. – UTUSAN