Johor tambah RTBJ, bantu lebih ramai miliki kediaman - Utusan Malaysia

Johor tambah RTBJ, bantu lebih ramai miliki kediaman

ONN HAFIZ GHAZI menunjukkan buku pelan Strategik Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) 2023-2027 pada Majlis Pelancaran Transformasi PKPJ di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri merancang untuk membina sehingga 500 unit Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu bertujuan membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman dengan individu yang layak boleh menyewa RTBJ pada kadar bayaran RM650 sebulan.

“Daripada jumlah RM650 itu, sebanyak RM455 akan ditolak sebagai bayaran sewa bulanan, manakala RM195 akan dijadikan simpanan mereka selama lima tahun.

“Selepas lima tahun, jumlah wang simpanan terkumpul adalah sebanyak RM11,000, dan wang berkenaan akan digunakan untuk membayar deposit rumah,” katanya ketika melancarkan Perkhidmatan Transformasi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.

Onn Hafiz berkata, sebanyak 93 unit RTBJ akan dibina tahun ini, manakala 216 lagi dibina tahun depan.

Sementara itu, Mohd. Jafni memberitahu, kerajaan negeri telah mengenal pasti lebih 10,000 rumah setinggan yang didirikan di kawasan berstatus tanah Persekutuan, di tepi sungai serta yang dihuni warga asing.

Johor Bahru merupakan daerah dengan jumlah penempatan setinggan tertinggi di negeri ini.

“Kita akan memberi tumpuan terhadap usaha membebaskan penempatan setinggan menerusi penubuhan pasukan khas yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu. Setakat ini, beberapa penempatan setinggan sudah dirobohkan, terutamanya yang melibatkan penghuni bukan orang tempatan,” katanya.

Antara langkah yang diambil adalah dengan menempatkan penghuni setinggan berkenaan ke unit kediaman sewa di bawah pentadbiran kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya