Johor jamin segera baiki infrastruktur rosak - Utusan Malaysia

Johor jamin segera baiki infrastruktur rosak

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH berbincang dengan Jurutera JPS Daerah, Nurliza Zakari pada Mesyuarat Task Force Banjir Negeri Johor di Pejabat JKR Daerah Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Kerajaan negeri memberi jaminan akan menyegerakan kerja membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir sebaik sahaja bencana itu surut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, setakat ini pihaknya sedang mengenal pasti jumlah infrastruktur terlibat serta meneliti kaedah baik pulih yang sesuai.

“Hingga ke hari ini, sebanyak 50 kawasan laluan telah dikenal pasti rosak akibat banjir dengan terdapat jalan utama yang ditutup disebabkan tanah runtuh dan sebagainya.

“Jumlah ini dijangka bertambah dari semasa ke semasa kerana keadaan banjir belum surut. Pada masa ini, pihak terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi masih dalam peringkat mengenal pasti lokasi terlibat seluruh negeri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Task Force Banjir Negeri Johor di Pejabat JKR Daerah Muar, di sini.

Menurutnya, kerja pembaikan itu turut melibatkan kerosakan paip air yang pecah serta pencawang elektrik yang musnah akibat banjir.

“Untuk masalah bekalan paip air pecah mungkin hadapi sedikit kesukaran untuk baiki sebab paip ini masih tergenang dalam air  Jadi, kita tak nak ambil risiko, maka kerja pembaikan akan dimulakan sebaik sahaja keadaan selamat.

“Namun, saya yakin bekalan air bersih di Johor masih mencukupi. Malah, pihak Syarikat Air Johor (SAJ) akan membantu menghantar bekalan air selamat ,khususnya di pejabat kerajaan yang berkepentingan awam seperti klinik dan hospital.

“Ini termasuk operasi menghantar lori tangki di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) yang mengalami masalah tekanan air rendah. Setakat ini, tiada isu terputus bekalan air di PPS, hanya masalah aliran air perlahan,” katanya.

Mohamad Fazli berkata, segala kerja membaik pulih akan melibatkan peruntukan di bawah kerajaan negeri serta Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) yang dijangka menelan kos sehingga RM50 juta.

“Bagi kerosakan biasa dijangka tak ambil masa lama, iaitu kira-kira satu ke dua minggu, namun kerosakan seperti runtuhan mungkin makan sedikit masa. Jadi, kita mohon semua pihak untuk sabar hadapi situasi banjir ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.