SONGKLA: Majlis Agama Islam Wilayah Songkla, Thailand mengingatkan pasangan dari Malaysia bahawa pejabat itu hanya mengiktiraf sijil nikah yang dikeluarkan pihaknya sahaja.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa majlis agama Islam itu, Abdul Halim Lateh berkata, pihaknya tidak mengiktiraf mana-mana pernikahan yang diadakan di rumah, hotel, kedai makan atau di mana-mana tempat selain pejabat kerana mereka yang terlibat tidak mendapat pentauliahan pihaknya.
Menurut beliau, perkara itu turut dipersetujui Persatuan Majlis Agama Islam Enam Wilayah Selatan Thailand (Permai) merangkumi wilayah Pattani, Narathiwat, Yala, Songkla, Satun dan Phatthalung yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Syarat kami mesti akad nikah di pejabat Majlis Agama Islam Songkla. Kita hanya mengiktiraf pernikahan di pejabat sahaja. Kalau nikah di lain-lain wilayah seperti Padang Besar, Danok dan tempat-tempat lain, itu adalah sindiket. Jadi kalau ada ejen yang nak bawa ke tempat lain itu adalah satu penipuan sindiket.
“Kalau selepas mereka kahwin di tempat lain dan datang ke pejabat ini untuk buat pengesahan, kita tidak akan sahkan dan perlu dinikahkan semula. Begitu juga Majlis Agama Islam Wilayah lain pun buat ketetapan sama kerana kami sudah membuat perjanjian dengan Jakim.
“Jadi kita harap pasangan di Malaysia tidak terpedaya dengan sindiket kerana risiko perkahwinan tidak sah apabila kita tidak tahu status jurunikah, wali hakim dan saksi-saksi yang terlibat,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Abdul Halim berkata, pihak Majlis Agama Islam Songkla menjadi tumpuan pasangan dari Malaysia apabila kira-kira 100 pasangan dinikahkan dalam tempoh sebulan.
Kata beliau, pihaknya tidak melantik mana-mana ejen untuk membawa pasangan bernikah di sini tetapi tidak menghalang pasangan mendapatkan perkhidmatan ejen luar jika saluran dan prosedurnya adalah betul.
Bagaimanapun katanya, bayaran untuk mendapatkan perkhidmatan ejen itu mungkin lebih tinggi berbanding kos yang hanya perlu dibayar untuk bernikah di pejabat Majlis Agama Islam Songkla adalah ditetapkan sebanyak 5,000 baht (RM644).
Pada masa sama beliau memberitahu, ramai pihak membuat salah tanggap perkahwinan di Thailand semuanya tidak sah, sedangkan yang dikhuatiri berlaku sedemikan adalah jika dilangsungkan melalui sindiket dan tidak mengikut syarat serta rukun nikah Islam.
Katanya, ramai juga berpandangan di Thailand membenarkan pernikahan melibatkan mereka yang masih berstatus isteri orang yang mana perkara itu tidak akan berlaku di Majlis Agama Islam di sini kerana pihaknya perlu memastikan adanya surat cerai terlebih dahulu sebelum melangsungkan perkahwinan baharu.
“Kebiasaannya yang berkahwin di sini kerana poligami. Syarat kami tidak perlu dapat izin isteri pertama. Jadi mereka yang berkahwin di sini hanya melakukan kesalahan mengikut undang-undang keluarga di Malaysia.
“Mahkamah akan siasat dan mengesahkan perkahwinan itu tanpa kebenaran di luar negara dan dikenakan denda,” katanya.
Sebelum ini bekas Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memberitahu, setiap perkahwinan di luar negara perlu mendaftarkan semula perkahwinan itu di negara ini untuk tujuan rekod perkahwinan yang dilihat satu keperluan atau maslahah utama.
Beliau yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, rekod perkahwinan adalah bukti sahih kepada kewujudan sesuatu perkahwinan mengikut undang-undang yang mana satu keperluan mengikut undang-undang (Seksyen 25 A303).
Katanya, sesuatu perkahwinan akan mewujudkan hak dan liabiliti kepada suami isteri khususnya dari sudut hukum dan undang-undang.
Mengikut rekod JKSM, bagi kes permohonan pengesahan dan pendaftaran pernikahan di mahkamah syariah yang kebanyakan melibatkan pernikahan luar negara, hanya 11,833 kes diluluskan berbanding 16,346 pengesahan perkahwinan yang didaftarkan bagi tempoh lima tahun.
Bagi pengesahan nikah poligami pula katanya, hanya 7,908 kes diluluskan berbanding 10,279 pendaftaran sepanjang 2017 hingga 2021 yang direkodkan di seluruh negara. – UTUSAN










