Jangan kongsi hal peribadi di media sosial elak ditipu - Utusan Malaysia

Jangan kongsi hal peribadi di media sosial elak ditipu

Kebocoran data peribadi rakyat Malaysia perlu diberi perhatian serius.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sikap suka berkongsi maklumat peri­badi dan hal ehwal keluarga di media sosial antara punca utama menyumbang kepada penggodaman data peribadi dan membuka ruang kepada pencerobohan akaun bank.

Penjenayah siber menggunakan maklumat diperoleh di media sosial untuk mencipta kata laluan akaun bank, emel dan telefon pintar bagi tujuan penipuan dalam talian yang telah menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit.

Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam tem­­poh dua tahun lalu, seba­nyak 2,157 kes jenayah e-ke­wangan dicatatkan mem­babitkan kerugian men­cecah RM150 juta dan angka itu te­rus membimbangkan pihak berkuasa.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, jenayah siber kini semakin berkembang dan kes-kes kecurian boleh berlaku pada bila-bila masa daripada akaun wang bank, kad kredit atau dompet digital milik mangsa terutama ‘peminat’ media sosial.

DATA PERIBADI

“Ini kerana scammer cekap sehingga mampu menggodam data peribadi pengguna ter­utama yang aktif di media sosial.

“Penipuan atau pencerobohan boleh dilakukan dalam macam-macam bentuk antaranya meneka, mencipta kata laluan pemilik bank, mencipta laman web seperti bank atau menipu mangsa,” kata beliau.

Menurut beliau, kebanyakan pengguna yang membina kata kunci atau kata laluan keselamatan berasaskan lima maklumat iaitu nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit, alamat rumah dan emel boleh di­ceroboh jika individu itu kerap ‘menayang’ data peribadi atau kehidupan harian mereka di media sosial.

“Ramai tidak sedar sebenarnya penjenayah ini sentiasa menunggu peluang selain memerhatikan pengguna media sosial kerana mereka mengkaji sifat-sifat mangsa melalui apa yang dikongsi dan seterus cuba menggodam dan mencuri wang mangsa,” katanya.

Kata beliau, perkara itu terbukti apabila sebanyak 17,308 ancaman siber direkodkan Cy­berSecurity Malaysia (CSM) pada tahun 2021 dan 2022 me­libatkan pelbagai kes jenayah.

Kesalahan tertinggi melibatkan penggodaman data peribadi iaitu 2,165 kes dan penipuan (11,839 kes).
Menurut Siraj lagi, keterbukaan pengguna media sosial sangat membimbangkan kerana mereka lebih berisiko menjadi mangsa penipuan siber.

Selain itu, kata beliau, antara cabaran membanteras jenayah siber apabila jenayah itu rentas sempadan iaitu bukan hanya berlaku di negara ini malah boleh berlaku di negara-negara lain.

“Pihak berkuasa turut menghadapi kekangan apabila tidak dapat menangkap dan mendakwa dalang yang berope­rasi di negara-negara luar.

“Satu undang-undang ber­kaitan penipuan jenayah siber di peringkat global perlu dikuat kuasa agar sindiket ini dapat dibenteras sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN