MUKADIMAH
MENANG jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak pada pemilihan parti itu baru-baru ini disifatkan sebagai batu loncatan untuk melangkah lebih jauh dalam dunia politik bagi Ramelle Ashram Ramli, anak bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Ahli perniagaan berusia 45 tahun itu menetapkan beberapa fokus utama yang akan dilaksanakan sebaik sahaja menang jawatan itu. Bersama wartawan Mingguan Malaysia, SAYED HESHAM IDRIS, Ramelle, berkongsi wawasannya dalam politik dan hajat besarnya untuk memulihkan Kompleks Sejarah Pasir Salak yang diilhamkan oleh bapanya yang kini tanpa penjagaan sewajarnya.
MINGGUAN: Apa faktor kemenangan sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak?
RAMELLE: Saya melihat kemenangan saya dan Khairul Azwan Harun (Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak) kerana orang Pasir Salak mahukan perubahan. Faktor calon memainkan peranan, dua faktor utama, memang penduduk nak kan perubahan, mahu lihat tahun-tahun ke depan, mahu lihat perubahan. Tiga kedudukan teratas dalam UMNO Bahagian ini diterima perwakilan, saya sifatkan kami diterima secara am oleh penduduk Pasir Salak.
APA yang akan dilakukan terhadap parti.
SAYA pernah bertanding jawatan yang sama dalam pemilihan tahun 2008 tapi kalah, tapi apabila dapat kemenangan kali ini, ia merupakan batu loncatan untuk saya melangkah ke peringkat seterusnya. Saya mahu membantu parti dalam PRU akan datang. Memang ini merupakan permulaan dalam karier politik saya. Tugas kami ialah memenangkan semula UMNO di Pasir Salak selepas kita kalah dua DUN (Kampung Gajah dan Sungai Manik) dan Parlimen Pasir Salak dalam PRU15.
APA reaksi bapa di atas kemenangan ini?.
BAPA memang gembira, sudah tentu dia gembira. Bapa ni kalau anak dia menang lari 100 meter pun dia suka, tapi dia pesan sudah tiba masanya untuk saya mengotakan manifesto yang dijanjikan, itu nasihat dia. Semasa kempen pemilihan, kami bentangkan empat perkara utama, perkara besar iaitu Kompleks Sukan di Kampung Gajah, Kompleks Sejarah Pasir Salak, naik taraf Litar Datuk Sagor dan melihat semula pengairan sawah padi di Sungai Manik, projek yang tergendala. Ini yang akan kami laksanakan.
BAGAIMANA baik pulih Kompleks Sejarah Pasir Salak.
Itu kampung saya, kompleks itu projek bapa saya dahulu. Benda itu (kedatangan pelancongan) saya pernah nampak live 20 tahun dulu. Setiap hujung minggu 15, 20 bas (pelancong) datang. Hasrat untuk membaiki pulih dan menaik taraf kompleks ini bukan soal legasi tapi untuk ekonomi orang kampung, itu lagi penting. Benda ini (Kompleks Sejarah) ralat bila pemimpin tak buat apa-apa. Apabila siap, pelancong akan datang, mereka akan berbelanja, apabila berbelanja ini memberi peluang kepada penduduk buka kedai. Dulu banyak (kedai orang kampung), sekarang tak ada. Resort di kompleks ini juga memberi peluang pekerjaan.
SEJAUH mana dapat pulihkan kompleks ini?
PEMIMPIN tempatan kena perjuangkan dengan bantuan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Perlu ada keazaman. Benda sudah ada, sudah siap, cuma perlu dibaik pulih dan ini bukan mustahil. Kena ada keazaman, keinginan, kena dapatkan bajet. Semuanya kembali kepada usaha pemimpin tempatan untuk membuat pembaharuan itu. Bagi masa, saya percaya perkara ini boleh dilakukan. Paling penting ada keazaman dan keinginan serta semangat kepada penduduk.











