Harga bufet Ramadan meningkat namun masih dapat sambutan - Utusan Malaysia

Harga bufet Ramadan meningkat namun masih dapat sambutan

LEE Tian Hock (empat dari kanan) bersama Alan Key (tiga dari kanan) pada majlis berbuka puasa di D'tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, Seremban semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun berlaku peningkatan harga pada bufet Ramadan namun permintaan dan sambutannya daripada orang ramai masih menggalakkan.

Pengurus Besar Hospitaliti D’tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, Alan Key, menjelaskan, peningkatan harga bahan mentah menjadi faktor utama kenaikan harga hidangan bufet Ramadan kali ini.

“Bagaimanapun, kami masih mengekalkan pada harga berpatutan dengan menanggung sebahagian kos bagi memastikan lebih ramai pelanggan dapat menikmati hidangan berbuka puasa di sini.

“Setakat ini kami menerima lebih 400 orang pelanggan yang datang berbuka puasa dalam sehari di sini,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di sini semalam.

Majlis turut dihadiri oleh Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holding Bhd., Datuk Seri Lee Tian Hock.

Media sebelum ini melaporkan kebanyakan harga bufet Ramadan yang ditawarkan tahun ini bermula dari RM78 hingga lebih RM250 untuk dewasa manakala RM55 hingga lebih RM200 bagi seorang kanak-kanak.

Sebelum ini juga, Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan memberitahu, berlaku peningkatan 10 peratus harga hidangan bufet berbuka puasa di kebanyakan hotel di negeri ini namun ia masih berpatutan.

Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui, Mohamad Fazlee Aziz, 36, berkata, selain tempat yang selesa, menu makanan ditawarkan yang menarik menyebabkan dia tidak keberatan untuk mengeluarkan sedikit belanja untuk berbuka puasa di bufet-bufet Ramadan yang ditawarkan.

“Seperti di sini, dengan suasana dan kemudahan yang ada serta menu makanan yang menarik, saya lihat ia sesuai dengan harga. Lagipun bukan selalu kita bawa keluarga untuk menikmatinya, hanya pada bulan Ramadan ini sahaja,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya