Fokus satukan Puteri

Fokus satukan Puteri

NURUL AMAL MOHD. FAUZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Fokus akan diberikan kepada perpaduan dalam sayap Puteri UMNO susulan ‘perpecahan’ yang berlaku membabitkan enam penjuru sewaktu pemilihan UMNO.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, ini kerana perpaduan merupakan elemen penting supaya sayap puteri dapat bergerak sederap bagi mengukuhkan kedudukan parti setelah kalah terus pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

“Perpaduan ini penting sebab bila dah enam penjuru, sudah pasti pecah banyak, jadi along akan menyatukan sayap Puteri dulu supaya kita boleh bekerja antara satu sama lain.

“Dan sebab itu juga along tidak bertanding di bahagian kerana ingin memberi fokus kepada Puteri sahaja untuk masa sekarang ini,” ujarnya lagi.

Dalam pemilihan UMNO bagi jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia, Nurul Amal telah mengalahkan calon lain termasuklah Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin yang merupakan penyandang Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Masliha Harun, Fadwah Anuwar serta Nurul Hazwani Haslan.

Mengulas lanjut, Nurul Amal turut berkata, faktor kepe­mimpinan sebagai Naib Ketua Puteri UMNO dikatakan menjadi pendorong untuk beliau naik ke satu tahap yang lebih tinggi kali ini untuk memimpin Puteri selepas Datuk Zahida Zarik Khan memegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, Nurul Amal menjelaskan yang beliau tidak mengambil ia sebagai satu langkah mudah memandang­kan pesaingnya juga berada dalam sistem dan mempunyai pengalaman tertentu, sekali gus mempunyai pengaruh tersendiri yang menjadi kekuatan mereka.

Beliau dalam masa yang sama turut meluahkan rasa terharu melihat usaha dan kerja keras seluruh perwakilan memenangkan dirinya.

“Bila kita masuk dalam pemilihan ni, kita tidak boleh cakap terlalu yakin kerana apa sahaja yang kita lakukan ini, akhirnya kita serahkan kepada perwakilan. Nampak mereka semua bekerja keras,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN