KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam mengarahkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng untuk membayar ganti rugi sebanyak RM2 juta kepada syarikat e-dagang, MonSpace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Datuk Seri Jessy Lai kerana memfitnah mereka, enam tahun lalu.
Selain itu, Hakim Datuk Akhtar Tahir turut mengarahkan ahli parti DAP itu untuk membuat permohonan maaf yang akan disiarkan di akhbar dan juga media sosial dalam tempoh tujuh hari selepas kenyataan maaf tersebut dimuktamadkan.
Lip Eng yang dinamakan sebagai defendan tunggal turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM250,000.
Ketika membaca penghakimannya, Hakim Akhtar menyatakan, defendan tidak pernah menafikan bahawa beliau telah mengeluarkan kenyataan fitnah dan ia telah diterbitkan semula oleh media tempatan.
“Kenyataan-kenyataan yang dibuat jelas memberikan konotasi bahawa plaintif telah merasuah pegawai-pegawai kanan kerajaan dan menjalankan aktiviti bertentangan undang-undang termasuk menipu 19 warganegara China.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen, defendan bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan kawasannya dan juga orang awam. Adalah dipuji tindakan defendan membuat laporan polis tetapi ia sepatutnya berhenti pada tahap itu dan membiarkan siasatan dijalankan.
“Sebaliknya, defendan telah bertindak melebihi tugasnya sebagai seorang Ahli Parlimen dan bertindak luar batas undang-undang dengan membuat pelbagai tuduhan terhadap plaintif. Defendan juga telah bertindak turun ke jalanan untuk membuat protes terhadap plaintif,” kata hakim tersebut. – UTUSAN










