PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengelak daripada menggunakan dana kerajaan jika mahu meneruskan projek Bandar Malaysia yang kini terhenti.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, projek itu boleh diteruskan jika dibiayai sepenuhnya atau secara berpakej oleh pihak swasta.
Katanya, ia bagi mengelakkan kewangan negara terus terbeban terutamanya untuk membiayai projek tersebut yang memerlukan dana yang besar.
Pada masa sama, beliau optimis projek yang dilancarkan sejak 2011 itu mampu menarik pelabur asing untuk membangunkan Bandar Malaysia.
“Jika pelan perniagaan Bandar Malaysia mampu memberi pulangan pelaburan yang tinggi, apabila ia dilaksanakan, pelabur luar sudah tentu akan datang melabur walaupun ekonomi negara masih lagi berdepan pelbagai cabaran,” jelasnya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, projek Bandar Malaysia yang dirancang di bekas lapangan terbang lama Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) di Sungai Besi masih menimbulkan pelbagai persoalan tentang statusnya.
Biarpun kerajaan belum menyatakan pendirian berhubung projek itu, pelaksanaannya masih menimbulkan reaksi berbeza dalam kalangan penganalisis hartanah dan ekonomi.
Penganalisis Hartanah, Ishak Ismail berkata, sebarang keputusan sama ada projek itu diteruskan atau sebaliknya perlu mengambil kira keadaan negara terutamanya situasi ekonomi.
Katanya, ia bagi mengelakkan Malaysia terus kerugian disebabkan ruang komersial yang berlebihan berikutan tidak dapat memberi pulangan sewaan kepada pendapatan negara.
Untuk rekod, Bandar Malaysia adalah projek pembangunan berkeluasan 197 hektar menggunakan model pembangunan perkongsian awam-swasta untuk membangunkan pembangunan bercampur berorientasikan transit.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan untuk meneruskan semula projek berkenaan dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM140 bilion selepas ia ditangguhkan secara tiba-tiba pada Mei 2017.
Selain itu, Kabinet pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini bersetuju Bandar Malaysia dibangunkan secara berpakej melibatkan banyak pihak. – UTUSAN










