El Nino: Malaysia pantau ramalan cuaca

El Nino: Malaysia pantau ramalan cuaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi memantau ramalan cuaca kering yang dikhuatiri melanda negara tahun ini sekitar Mei hingga September ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada orang awam sekiranya terdapat perkembangan baharu susulan ramalan cuaca itu.

“Negara lazimnya me­nga­lami musim kering atau secara relatifnya kurang menerima hujan pada Monsun Barat Daya iaitu pada sekitar bulan Mei hingga September.

“Semasa tempoh ini, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan keadaan atmosfera yang lebih kering dan kelembapan udara yang rendah. Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh monsun ini.

“Justeru, Jabatan Meteo­rologi masih lagi memantau keadaan ini dan akan memaklumkan orang awam dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada 5 Januari lalu, Muhammad Helmi dilaporkan berkata, masih terlalu awal meramalkan kemungkinan berlaku fenomena El Nino, kekuatan serta kesannya kepada negara.

Sebelum ini dilaporkan agensi berita antarabangsa, kerajaan Indonesia mengeluar­kan amaran kepada petani dan syarikat perladangan supaya bersedia menghadapi kebakaran di Sumatera dan Kalimantan.

Ini berikutan kemungkinan berlaku cuaca kering berpanjangan di Asia Tenggara susulan corak cuaca El Nino, yang dijangka menga­ki­batkan musim panas berpanjangan.

Indonesia mengalami berjerebu pada beberapa tahun antara 1997 dan 2015 apabila petani dan syarikat perladangan mengamalkan kaedah tebas dan bakar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN