[DUN] Johor perlukan 679 guru agama - Utusan Malaysia

[DUN] Johor perlukan 679 guru agama

MOHD. FARED MOHD. KHALID menjawab soalan pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Negeri ini memerlukan seramai 679 guru agama bagi perjawatan gred DG29 dan DG41 untuk mengisi kekosongan di Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, pihaknya komited untuk mengatasi masalah kekosongan perjawatan berkenaan, tahun ini.

Antara faktor berlakunya masalah itu termasuk sebahagian guru SAKJ berhijrah ke Kementerian Pendidikan.

“Kekosongan guru agama SAKJ setakat ini adalah seramai 595 waran bagi gred DG29 dan 74 waran bagi gred DG41. Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi Bahagian Pendidikan Islam telah membuat permohonan kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) untuk membuat lantikan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bagi Gred DG29 dan DG41 pada 11 Disember 2022.

“Pada 18 Januari ini, tindakan telah diambil untuk membuat lantikan kontrak secara berperingkat bagi mengatasi masalah kekosongan guru. Langkah itu dibuat dan bukannya lantikan tetap adalah disebabkan kekangan kewangan,” katanya menjawab soalan Anuar Manap (BN-Pemanis) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Fared memberitahu, Bahagian Pendidikan Islam, JAINJ telah membuat permohonan lantikan kontrak sebanyak 450 waran bagi jawatan guru DG29 dan 57 waran bagi jawatan guru DG41.

“Tindakan seterusnya adalah perkara itu akan dibawa ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan waran bagi guru-guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini adalah sebanyak 2,000 waran, dengan 1,985 waran bagi jawatan berkenaan telah diisi.

“Guru KAFA di Johor telah menerima Bantuan Khas Kewangan tahun 2022 sebanyak RM1,000 yang telah selesai proses pembayarannya pada 17 Februari lalu. Kerajaan negeri juga komited untuk terus meningkatkan kualiti dan menjaga kebajikan guru-guru yang mendidik anak-anak Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya