‘Dulu ajar ibu bapa, sekarang anak-anak’

‘Dulu ajar ibu bapa, sekarang anak-anak’

MD. Nazir Nik Ali (kanan) meninjau perjalanan kelas murid tahun satu pada hari pertama persekolahan di STB, Arau, Perlis, semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: “Dulu mengajar ibu bapa, sekarang anak-anak pula,” seloroh sesetengah guru yang masih menjadi tenaga pengajar di Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini.

STB yang berusia lebih 130 tahun dan tertua di Perlis sememangnya unik dan se­ring menjadi perhatian sebahagian besar bekas penuntut menghantar anak mereka di sekolah ber­kenaan.

Pada hari pertama sesi akademik 2023/2024, murid-murid terutamanya tahun satu kelihatan ceria, teruja dan bersemangat memasuki alam persekolahan.

Meskipun masih baharu, mereka tidak menangis selepas ditinggalkan ibu bapa, sebaliknya bersemangat semasa berbaris ke kelas masing-masing.

Guru Besar STB, Md. Nazir Nik Ali berkata, hari pertama sesi persekolahan berjalan lancar, malah murid-murd tahun satu begitu bersemangat ke sekolah.

Katanya, STB juga cukup unik yang sentiasa menjadi perhatian bekas-bekas penuntut untuk menghantar anak mereka me­nimba ilmu di sini.

“Ada juga sebahagian guru dahulu pernah mengajar ibu bapa dan kini mengajar anak-anak mereka pula. Kalau kita lihat, ibu bapa bekas-bekas penuntut ini akan kembali menghantar anak mereka di STB,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, seorang bapa, Norsham Kamis,38, berkata, anaknya yang memasuki tahun satu begitu teruja dan bangun seawal pukul 6.30 pagi untuk bersiap ke sekolah.

Katanya, sebagai bekas murid sekolah berkenaan, dia juga mengambil inisiatif untuk menghantar anaknya di STB yang mempunyai sejarah cukup panjang.

“Kebanyakan anak-anak tahun satu yang mula bersekolah hari ini (semalam) kelihatan begitu ceria malah anak saya sendiri juga tidak menangis pada hari pertama persekolahan ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN