Dua pengedar ditahan, dadah RM3.22 juta dirampas - Utusan Malaysia

Dua pengedar ditahan, dadah RM3.22 juta dirampas

KAMARUL ZAMAN MAMAT menunjukkan sebahagian daripada adah yang dirampas daripada dua lelaki bernilai lebih RM3 juta dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini memberkas dua pengedar dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.22 juta dalam tiga serbuan di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua rakan yang berusia 34 dan 38 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor antara pukul 3.15 petang hingga 5 petang.

“Hasil serbuan dijalankan, polis berjaya merampas pelbagai dadah, antaranya, 119,750 biji pil erimin 5, serbuk ekstasi seberat 5,360 gram, ketamin (903 gram), pil ekstasi (865 gram) dan ‘magic mushroom’ (270 gram).

“Sekiranya berada dalam pasaran, sejumlah dadah itu boleh digunakan kira-kira 150,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, modus operandi digunakan dua sahabat itu adalah dengan menjadikan kediaman berpagar dan berpengawal serta kereta sebagai stor simpanan dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

“Dalam serbuan itu, polis turut menyita pelbagai aset bernilai RM210,450 membabit sejumlah wang tunai, barang kemas dan empat kenderaan.

“Saringan ujian air kencing mendapati seorang suspek positif dadah, manakala seorang lagi mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya sambil memberitahu kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam.

Sejak 1 Januari hingga Selasa lalu, polis negeri ini telah menahan seramai 3,967 individu atas pelbagai kesalahan dadah serta merampas 849.22 kilogram dadah bernilai RM9.59 juta selain turut menyita harta bernilai RM3.89 juta.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya