Dua rakan diberkas edar dadah lebih RM800,000 - Utusan Malaysia

Dua rakan diberkas edar dadah lebih RM800,000

KAMARUL ZAMAN MAMAT menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas daripada dua lelaki di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepandai-pandai tupai melompat,  akhirnya jatuh ke tanah jua.

Perumpamaan itu sesuai ditujukan kepada dua rakan yang diberkas kerana disyaki terlibat dalam pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai RM849,192 dalam empat serbuan di sekitar bandar raya ini, Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua lelaki berusia 32 dan 38 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula pukul 5 petang hingga 9 malam.

Sindiket yang disyaki aktif sejak Disember tahun lalu itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan rumah sewa berpengawal dan berpagar sebagai tempat menyimpan dan membungkus dadah berkenaan.

“Dalam operasi tersebut, polis berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah, antaranya syabu seberat 21.27 kilogram (kg), serbuk ekstasi (727 gram (g)), ketamin (554 g), pil ekstasi (110 biji), eramin 5 (48 biji) serta magic mushroom (56.30 g).

“Jumlah nilai rampasan dadah adalah RM849,192 dan bekalan dipercayai diseludup dari negara segi tiga emas,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menyita tiga buah kenderaan, iaitu Toyota Vellfire, Proton Saga dan Yamaha LC selain jam tangan, wang tunai tempatan dan Singapura  dengan nilai keseluruhan berjumlah RM160,430.

Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis ketamin.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 21 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya