Dua lelaki tak sempat belanja duit samun - Utusan Malaysia

Dua lelaki tak sempat belanja duit samun

WANG tunai, telefon bimbit serta parang dan sabit yang dirampas daripada dua lelaki yang dipercayai menyamun dua premis di Parit Sulong, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Dua lelaki yang menyamun dua premis di Parit Sulong, dekat sini berputih mata apabila tidak sempat membelanjakan hasil jenayah itu apabila berjaya ditahan kira-kira enam jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, suspek yang berusia 26 dan 29 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 pagi tadi di kawasan Pekan Parit Sulong selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam. 

Hasil penahanan dua suspek,  pihak polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM3,025, sebilah parang, sebilah sabit dan beberapa telefon bimbit dipercayai hasil samun. 

“Pada pukul 11.30 malam tadi, pihak  polis menerima laporan daripada seorang pemilik kedai snuker yang menyatakan kedainya disamun oleh dua lelaki tidak kenali. 

“Pada pukul 9.30 malam hari yang sama sebuah kedai menjual peralatan telefon juga dilaporkan disamun oleh dua lelaki berdasarkan laporan pemiliknya kira-kira pukul 2.30 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya, ketika melakukan samun, kedua-dua suspek turut mencederakan seorang pekerja sehingga menyebabkannya terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah dan salah seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau. 

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN