Cubaan seludup diesel RM1.7 juta di hutan tumpas - Utusan Malaysia

Cubaan seludup diesel RM1.7 juta di hutan tumpas

SEKUMPULAN lelaki yang ditahan kerana disyaki cuba seludup minyak diesel bersubsidi di Hutan Simpan Sungai Santi, Pengerang, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak diesel bersubsidi bernilai RM1.7 juta di Hutan Simpan Sungai Santi, Pengerang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, bertindak atas maklumat risikan pencerobohan hutan simpan, sepasukan anggota daripada JPNJ telah melakukan serbuan pada pukul 10.30 malam.

Dalam serbuan itu, pasukan JPNJ turut berjaya menahan seramai lima lelaki tempatan dan enam lelaki warganegara asing yang berumur dalam  lingkungan 20-an hingga 50-an.

“Ketika tangkapan dilakukan mereka sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi dari dua buah lori tangki yang dipam masuk ke dalam tangki sebuah kapal yang berada di tepi Sungai Santi serta dipercayai akan diseludup keluar negara melalui jalan laut.

“Semakan ke atas enam lelaki warganegara asing telah gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia dan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Pemeriksaan seterusnya mendapati kesemua tangkapan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memiliki, menyimpan, membawa barang kawalan tanpa permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta tidak mempunyai permit untuk memasuki hutan simpan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hussin berkata, hasil serbuan tersebut, pasukan JPNJ  berjaya merampas 150,000 liter minyak diesel bersubsidi di dalam tangki kapal tersebut dianggarkan bernilai RM322,500.

Keseluruhan nilai rampasan, iaitu dua lori tangki, sebuah generator dan sebuah motosikal serta sebuah kapal termasuk nilai rampasan minyak diesel turut dianggarkan bernilai RM1,714,800.

“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak KPDNHEP dan Pegawai JPNJ untuk siasatan di bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya