PETALING JAYA: Cadangan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijadikan sebagai cagaran bagi pinjaman bukan langkah pragmatik dalam membantu rakyat yang terkesan terutamanya dengan bebanan hutang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah itu hanya mendorong orang ramai berterusan menambah hutang.
“Saya tak bersetuju bahawa penyelesaian kepada masalah rakyat ialah meminta mereka berterusan mengambil dan menambah hutang, dengan urusan berhutang ini dipermudahkan dengan membenarkan caruman KWSP dijadikan cagaran.
BEBAN
“Ini kerana ia akan menambahkan beban hutang isi rumah yang sudah menghampiri 90 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan antara yang tertinggi di Asia Tenggara.
“Selain itu, cadangan itu juga memerlukan pindaan ke atas Akta KWSP yang tidak membenarkan caruman dijadikan sebagai cagaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, kerajaan bercadang memperkenal kaedah yang membenarkan pencarum KWSP membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman.
Mengulas lanjut, Dr. Ahmed Razman berkata, kerajaan diminta untuk membantu rakyat melalui alternatif pembiayaan yang tidak melibatkan riba iaitu pinjaman Qardhul Hassan.
INISIATIF
Malah, katanya, kaedah itu boleh menjadi inisiatif yang mampan sekiranya konsep hibah disekalikan dengan pinjaman Qardhul Hassan.
“Melalui konsep itu, mereka dibenarkan untuk bayar balik lebih dari RM10,000, tetapi tidak wajib dan kadar jumlah tidak ditetapkan. Bayaran yang lebih dari RM10,000 dikategorikan sebagai hibah.
“Ada peminjam apabila dibantu melalui pinjaman Qardhul Hassan, apabila mereka berjaya, mereka juga mahu membantu orang lain juga. Oleh itu mereka bayar lebih dalam bentuk hibah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berpendapat, cadangan itu akan menimbulkan pelbagai persoalan terutamanya dari aspek perundangan untuk melaksanakan cadangan berkenaan.
“Kalau melibatkan sistem perbankan, ia akan memakan masa dan mungkin akan menyebabkan faedah itu tidak begitu bermakna kepada penyimpan yang sedang ‘nazak’.
“Oleh itu, lebih mudah kalau dibuat pinjaman dalaman. Maknanya, pinjaman dalaman dikeluarkan KWSP sendiri dan boleh menggunakan baki simpanan sebagai sandaran tanpa memerlukan banyak dokumen.
“Misalnya, boleh suruh penyimpan tandatangan borang pengeluaran yang mana sekiranya mereka gagal membayar, ia (sandaran caruman) akan diambil alih oleh KWSP. Itu lebih mudah dan tidak melibatkan institusi luar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah itu dilihat bagi memberi kemudahan bagi ahli KWSP untuk mengakses kemudahan kredit bagi tujuan keperluan kewangan peribadi mereka.
Jelasnya, ia merupakan suatu fleksibiliti bagi ahli sekiranya mereka berkeperluan untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.
“Justeru, ahli KWSP perlu menilai keperluan kewangan mereka dengan sebaik-baiknya dengan melakukan due diligence (usaha wajar) supaya ahli mampu untuk melunaskan hutang tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










