Bazar Ramadan ‘Rahmah’ beri manfaat

Bazar Ramadan ‘Rahmah’ beri manfaat

PELAKSANAAN Bazar Rahmah semasa Ramadan akan memberi banyak manfaat kepada peniaga dan pembeli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rata-rata peniaga bersepakat jika bazar Ramadan berkonsep ‘Rahmah’ dilaksanakan sudah pasti akan memberi faedah kepada mereka dan juga pembeli.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah menyokong inisiatif tersebut jika dilaksanakan di semua bazar seluruh negara.

Menurutnya, pelaksanaan bazar tersebut akan lebih mendapat sambutan daripada ramai pengunjung dan dapat meningkatkan pendapatan perniaga di bulan puasa.

“Dengan jualan dalam kuantiti yang banyak, ia dapat memberikan keuntungan yang lebih kepada para perniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dilapor akan memperkenalkan Bazar Ramadan Rahmah yang dianjurkan sepanjang Ramadan tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pelaksa­naan bazar tersebut akan dilaksanakan di beberapa lokasi strategik sempena bulan Ramadan.

Mengulas perkara itu, Mohamad bagaimanapun berkata, peningkatan terhadap kos barang mentah mungkin akan mencetuskan kebimbangan para perniaga untuk menyediakan hidangan seimbang kepada pelanggan.

Bagi penyediaan untuk menu Rahmah, katanya, peniaga perlu menyediakan menu yang berkualiti dan jauh lebih murah daripada yang disediakan sebelum ini.

Mohamad berkata, pelaksanaan bazar tersebut juga dapat memudahkan rakyat menjalankan ibadah puasa dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

Jelasnya, menu Rahmah yang dijual di Bazar Ramadan dapat mengurangkan jumlah pembaziran makanan akibat pembe­lian berlebihan dan kuantiti yang dijual adalah banyak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN