Anwar ajak penjawat awam ‘bersihkan’ negara - Utusan Malaysia

Anwar ajak penjawat awam ‘bersihkan’ negara

Anwar Ibrahim dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang Universiti Filipina di Manila semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru penjawat awam meningkatkan mutu kerja demi menjadikan Malaysia negara lebih hebat.

Perdana Menteri berkata, negara akan lebih baik jika perubahan dilakukan dalam semua peringkat, meliputi pegawai atasan hingga pegawai rendah.

“Bersihkan negara kita, kerja dengan lebih bersungguh-sungguh, rajin lebih sikit. Negara nak maju, pertumbuhan nak tambah, hutang nak kurang, tapi kerja sama sahaja, ini tak mungkin.

“Hutang negara RM1.5 tri­lion, defisit 5.6 peratus. Kita nak selamatkan peruntukan untuk sekolah dan kesihatan malah elaun pegawai harus ditambah,” katanya ketika majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Filipina.

Malah, beliau mahu penjawat awam membantu negara menjadi lebih hebat daripada era 1990-an sewaktu beliau berkhidmat sebagai Menteri Kewangan.

Beliau turut meminta penjawat awam supaya menolak unsur rasuah dan membantu kerajaan membela golongan kurang bernasib baik.

Sementara itu, Anwar dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang Universiti Filipina, universiti nombor satu di negara tersebut.

Naib Canselor Hal Ehwal Awam Universiti Filipina, Jose Wendell Capili berkata, Anwar dihormati kerana prinsip menentang rasuah dan pengurusan terhadap ekonomi Malaysia semasa krisis kewangan Asia.

“Anwar seorang sarjana ada kepakaran antarabangsa dalam bidang ekonomi, demokrasi, kebebasan, tadbir urus, Islam dan demokrasi serta keperluan akauntabiliti.

“Perdana Menteri Malaysia menyanjungi kehidupan, karya dan pengajaran Jose Rizal (pejuang kemerdekaan Filipina),” menurutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×