PORT DICKSON: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan rampasan keseluruhan dianggarkan RM138,695 dalam Op Tiris di Kampung Chuah di sini, semalam.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, ketika serbuan pada pukul 7.30 malam itu, pasukan penguat kuasa mendapati terdapat dua buah lori tangki dalam keadaan mencurigakan berada di pekarangan tanah lot di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas lori tangki pertama menemukan kira-kira 16,380 liter cecair yang dipercayai adalah minyak diesel manakala lori tangki kedua mengandungi kira-kira 10,920 liter minyak diesel.
“Hasil serbuan ini, dianggarkan sebanyak 27,300 liter minyak diesel telah disita untuk tujuan siasatan dengan nilai rampasan sebanyak RM58,695. Turut disita dua lori tangki serta peralatan-peralatan yang digunakan di tempat serbuan seperti hos dengan keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini adalah RM138,695,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Zahir, seorang lelaki tempatan yang berusia sekitar 30 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek yang ditemui di lokasi kejadian tidak mempunyai sebarang lesen, permit, permit khas atau surat kebenaran dari Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan barangan kawalan berjadual.
“Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan serta menyimpan apa-apa barang kawalan di mana-mana premis selain dari yang dilesenkan atau yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan,” katanya.-UTUSAN.