PETALING JAYA: Kira-kira lapan juta rakyat negara ini yang berusia 18 hingga 60 tahun dikesan berdepan keresahan atau anxiety disorder dengan pesakit wanita akan terus meningkat dua kali ganda berbanding lelaki.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Datuk Dr. Andrew Mohanraj berkata, anggaran itu berdasarkan kajian peringkat global yang meramalkan 25 peratus penduduk dunia mempunyai gejala penyakit itu.
Menurut beliau, ini kerana kelaziman peratusan masyarakat yang menggambarkan ciri-ciri kecelaruan keresahan adalah sama di mana-mana negara di dunia.
Bagaimanapun, kata Andrew, faktor atau punca kenapa lebih ramai berdepan masalah keresahan tidak dapat dipastikan.
Menurutnya, masalah peningkatan gejala keresahan juga selaras dengan kajian kesihatan di Malaysia yang merekodkan 29 peratus rakyat mempunyai ciri-ciri tahap kesihatan mental yang lemah.
“Anggaran mereka yang mempunyai gejala penyakit keresahan sekitar 29 peratus dan daripada jumlah itu 20 peratus adalah masalah kecelaruan keresahan dan selebihnya adalah penyakit kesihatan mental yang lain seperti skizofrenia dan bipolar.
GEJALA
“Lapan juta orang yang dianggarkan itu mungkin tidak ada semua gejala, tetapi tetap ada satu atau dua ciri-ciri penyakit berkenaan. Jika ada keresahan, mungkin belum sampai tahap mahu bunuh diri, tetapi itu tetap gejala penyakit anxiety.
“Walaupun belum ada kajian secara besar-besaran, ia disokong dengan peratusan panggilan berkaitan keresahan yang lebih tinggi diterima persatuan kami semasa dan selepas pandemik baru-baru ini.
“Keresahan itu meningkat paling ketara antanya berpunca mereka tidak tahu di mana pendapatan mereka, jaminan kerja mereka dan segala tekanan yang menyebabkan ia menjadi lebih teruk. Jadi orang biasa yang sebelum ini tidak ada anxiety pun mereka boleh rasa cemas pada situasi sebegitu,” katanya ketika dihubungi.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dalam sidang Dewan Rakyat awal bulan ini memberitahu, daripada 336,900 penduduk di seluruh negara, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan masalah kemurungan dan anxiety atau gangguan kebimbangan tertinggi tahun lalu.
Justeru katanya, kementerian melaksanakan inisiatif dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan mental di 1,161 klinik kesihatan, 58 hospital, 34 buah pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari), dan empat institusi mental membabitkan aspek promosi, pencegahan, pengesanan awal dan rehabilitasi.
Mengulas lanjut, Dr. Andrew berkata, kecelaruan keresahan adalah satu penyakit berkaitan mood atau perasaan sehingga boleh mengancam nyawa.
Bagaimanapun, katanya, kesedaran sama ada pesakit sendiri atau orang sekeliling terhadap penyakit itu masih rendah dan dibimbangi boleh menyebabkan ia berlarutan sekiranya tidak mendapat rawatan daripada pakar.
PENYAKIT
“Jarang orang hidap penyakit itu sendiri akan tahu mereka memerlukan pertolongan dan orang lain juga hanya menganggap mereka mengada-ngada atau ia merupakan kelemahan keperibadian.
“Masyarakat perlu tahu yang penyakit ini mempunyai beberapa simptom antaranya rasa cemas seolah-olah sesuatu yang teruk, musibah atau kecelakaan akan berlaku. Contohnya, jika menyeberang jalan sememangnya berisiko dilanggar jadi kita akan lebih berhati-hati, tetapi mereka akan rasa pasti dilanggar atau pasti maut.
“Ia juga akan diikuti oleh ciri-ciri fizikal seperti hati berdebar-debar, berpeluh dan rasa seolah-olah dijerut leher sehingga sesak nafas. Selain itu, mereka yang mempunyai simptom juga akan rasa sakit perut sehingga lebih kerap ke tandas.
“Paling ketara mereka akan rasa apakah maut akan tiba dan perasaan itu sangat kerap sehingga mendorong cubaan bunuh diri,” jelasnya.
Sementara itu, Dr. Andrew berkata, tahap rawatan penyakit kecelaruan keresahan di negara ini belum memuaskan kerana mereka yang mempunyai gejala tersebut tidak dirawat sewajarnya dengan pegawai perubatan yang pakar.
RAWATAN
Katanya, ini kerana kebanyakan mereka hanya mendapatkan rawatan di klinik dan doktor perubatan biasa yang hanya cenderung untuk merawat simptom tersebut sahaja.
Sedangkan katanya, kecelaruan keresahan mempunyai beberapa jenis antaranya fobia dengan sesuatu, gangguan panik (panic disorder) dan gangguan keresahan sosial (social anxiety disorder).
“Doktor biasa sukar mengenal pasti punca dan cenderung merawat simptom sahaja, misalnya rasa resah akan beri ubat penenang dan ubat tidur jika sukar tidur. Maka, pesakit itu tidak dirawat dan pesakit itu akan beralih ke doktor lain sehingga menyebabkan penyakit berlarutan.
“Sebab apabila mereka ada gejala anxiety, tidak semestinya mereka tidak boleh berfungsi dengan baik, mereka tetap boleh meneruskan kehidupan, tetapi mungkin tahap pencapaian mereka misalnya semasa bekerja tidak memuaskan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau khuatir mereka yang mempunyai gejala anxiety akan menyebabkan satu penyakit baru iaitu ketagihan.
Katanya, ini kerana dibimbangi mereka akan cuba mengambil dadah, alkohol, pil tidur atau ubat untuk menenangkan fikiran tanpa sedar bagi menangani simptom yang dihadapi itu.
“Itu antara kekhuatiran yang perlu diambil serius sebab mereka cuba bukan untuk rasa gian atau syok, maka ia boleh menyebabkan ketagihan,” kata beliau. – UTUSAN










