PETALING JAYA: Kira-kira 20 orang termasuk dua pegawai khas kepada seorang bekas Perdana Menteri antara dikenal pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai individu didakwa turut memiliki aset menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, aset-aset tersebut seperti hartanah, wang tunai disimpan dalam bank dan saham dengan kesemuanya dikesan berada di negara luar.
Selain itu, kata sumber, terdapat juga aset-aset tersebut dalam bentuk seperti lukisan dan barangan kemas yang dibeli individu terbabit menggunakan dana 1MDB tetapi turut disimpan di negara-negara luar.
“Kesemua aset-aset yang dikenal pasti tersebut adalah sebahagian 30 peratus dana 1MDB yang masih diperincikan SPRM dalam usaha mendapatkannya semula.
“Kesemua aset berkenaan dipercayai berada di beberapa negara seperti Hong Kong, Perancis, Switzerland, Luxembourg, Singapura, United State, Kuwait, Germany, Mauritius dan luar pesisir serta beberapa negara lain,” kata sumber semalam.
BEKAS
Kata sumber itu lagi, kira-kira 20 individu berkenaan adalah nama-namanya yang disebut bekas Pengerusi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner.
“SPRM ketika ini giat melakukan pemulihan aset berkenaan dengan menjalinkan kerjasama Agensi Penguatkuasa Undang-Undang (LEA) di negara-negara terlibat,” kata sumber.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, SPRM mengesan untuk mendapatkan semula aset-aset membabitkan syarikat pelaburan strategik, 1MDB terhadap beberapa lagi nama yang disebut bekas Leissner.
Proses dan siasatan berkaitan dana 1MDB adalah usaha berterusan SPRM selepas mereka berjaya mendapatkan semula wang AS$10 juta daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan pada tahun lalu.
Rohana dilaporkan memulangkan wang tersebut secara sukarela tahun lepas.
SIASATAN
Bagaimanapun, proses dan siasatan tersebut mengambil masa panjang kerana maklumat-maklumat yang perlu diperoleh SPRM membabitkan penguat kuasa di negara lain.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Parlimen menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) memaklumkan, Jabatan Peguam Negara tidak mengetahui sekiranya Rohana telah memulangkan wang AS$10 juta berkenaan kepada kerajaan.
Pada 7 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, kerajaan sudah mendapatkan kembali lebih 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion.
Untuk rekod, pada 13 April tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Rohana yang didakwa mempunyai hubungan dengan Leissner bersetuju menyerahkan semula wang AS$10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc berkenaan.
Rohana didakwa menggunakan wang AS$10 juta yang diberikan oleh Leissner termasuk membeli sebuah rumah di London yang dikatakan bernilai RM29 juta (AS$7 juta).
Kaitan Rohana dengan dana 1MDB bermula susulan pendedahan Leissner dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di AS. pada Februari tahun lalu.
Dalam pembicaraan itu, Leissner memberitahu mahkamah AS bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan tiga wanita Malaysia, termasuk Rohana.- UTUSAN










