2 lelaki disyaki ugut Radja Band ditahan - Utusan Malaysia

2 lelaki disyaki ugut Radja Band ditahan

Kamarul Zaman Mamat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah dan kata-kata kesat terhadap kumpulan rock Indonesia, Radja Band ditahan petang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kedua-dua suspek ditahan ketika menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) kira-kira pukul 3.30 petang.

“Hasil siasatan mendapati, suspek berusia 37 dan 48 tahun itu adalah seorang lelaki tempatan dan lelaki warga asing. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Mereka boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Terdahulu, Kamarul Zaman mengesahkan pihaknya menerima laporan polis yang dibuat Radja Band pada pukul 05.34 pagi mengenai kejadian tersebut.

Difahamkan, insiden bermula ekoran salah faham antara pihak penganjur konsert dan band berkenaan sehingga menyebabkan dua lelaki melempar kata-kata kesat dan ancaman bunuh.

Vokalis kumpulan berkenaan, Ian Kasela memberitahu, pihaknya tidak dimaklumkan tentang sesi ‘Meet And Greet’ antara band berkenaan dengan peminat serta beberapa lagi aktiviti lain yang dirancang pihak penganjur.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.

“Polis masih menjalankan siasatan tentang kejadian itu. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Noor Azlinda Mohd. Khalid menerusi talian 017-2765250,” katanya.  – 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya