Utamakan keterjaminan makanan

Utamakan keterjaminan makanan

AFIQ ASYRAF SYAZWAN ABD. RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu meletakkan keutamaan isu keterjaminan makanan dengan menyediakan peruntukan ter­tinggi dalam Belanjawan 2023 yang dijadualkan esok.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli ekonomi Kena­nga Investment Bank Berhad, Afiq Asyraf Syazwan Abd. Rahim berkata, dengan peningkatan kos makanan dan perkhidmatan penting lain ketika ini, ramai rakyat berjuang untuk memenuhi keperluan hidup.

Kata beliau, merujuk kepada laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2021 pula, isi rumah B40 membelanjakan secara relatifnya untuk makanan merangkumi 35 peratus daripada perbelanjaan penggunaan bulanan mereka.

“Ini berbanding isi rumah M40 yang memperuntukkan sebanyak 30 peratus daripada perbelanjaan bulanan mereka dan T20 pula 23 peratus,” katanya di sini semalam.

KRISIS

Afiq Asyraf berkata, mena­ngani krisis kos sara hidup yang semakin meningkat memerlukan pendekatan pelbagai aspek, salah satu langkah pertama yang boleh diambil kerajaan ialah mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan.

Beliau berkata, tindakan kerajaan terus bergantung kepada makanan import boleh meningkatkan kos akhir makanan kerana ia terdedah kepada isu rantaian bekalan, peningkatan kos logistik serta turun naik dalam komoditi dan kadar pertukaran wang.

Justeru katanya, kerajaan harus memperuntukkan lebih banyak dana kepada sektor pertanian dan memberi insentif kepada petani tempatan untuk meningkatkan pengeluaran.

“Ini bukan sahaja akan me­ngurangkan kos makanan, tetapi juga menyokong perniagaan tempatan dan mewujudkan le­bih banyak pekerjaan,” katanya.

Selain itu beliau berkata, kerajaan juga perlu berusaha mengukuhkan ringgit kepada nilai wajar jangka panjang sekitar RM3.85 berbanding dolar, iaitu 15 peratus premium daripada nilai ringgit semasa, ke­rana kedudukan ringgit yang lemah boleh menyebabkan harga lebih tinggi untuk bahan-bahan import.

SUBSIDI

Beliau turut mencadangkan satu lagi tindakan penting dalam menangani krisis kos sara hidup berterusan ialah meningkatkan hasil dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dengan menghentikan subsidi secara berperingkat.

Jelasnya, subsidi boleh menyebabkan ketidakcekapan da­lam ekonomi dan dengan menghapuskannya secara beransur-ansur, kerajaan boleh mengalihkan dana kepada inisiatif lain seperti program perlindungan sosial (contohnya pemindahan tunai) yang akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Memandangkan punca utama situasi tidak selamat jaminan makanan adalah berkaitan pendapatan rendah, maka peningkatan kadar gaji amat pen­ting dalam menjadikan kehidupan lebih mampu untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN