Enam bulan tunggu untuk dibedah - Utusan Malaysia

Enam bulan tunggu untuk dibedah

Hospital kerajaan kekurangan doktor pakar sehingga pesakit terpaksa menunggu enam bulan untuk berjumpa, dirawat atau dibedah. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pesakit kronik terpaksa menunggu antara tiga hingga enam bulan untuk berjumpa, dirawat dan dibedah eko­ran kekurangan doktor pakar yang kini hanya berjumlah 13,000 orang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, keadaan itu menyebabkan petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Kesihatan yang menetapkan tempoh menunggu rawatan pakar antara dua hingga empat ming­gu gagal.

DR. LEE BOON CHYE

Menurut beliau, kesan daripada ketidakupayaan sistem kesihatan tersebut memberi khidmat kepada rakyat, pesakit terpaksa mencari doktor swasta dan membayar kos mahal.

“Tetapi jika pesakit tidak mampu untuk membayar, mereka tiada pilihan, kena tunggu dan kemungkinan ketika me­nunggu ada yang tidak sempat dirawat atau dibedah… meninggal dulu,” kata beliau.

Kata beliau, masalah se­per­ti itu tidak berlaku sekiranya Ma­laysia terutama di hosiptal kerajaan mempunyai doktor pa­kar mencukupi iaitu negara ketika ini memerlukan kira-kira 26,000 doktor pakar.

“Bidang yang amat kritikal mengalami kekurangan doktor pakar adalah bagi rawatan kanser, bedah saraf, sakit tua, masalah kesihatan kanak-kanak dan buah pinggang. Jika perkara ini diatasi segera, maka pesakit khususnya golongan berisiko tinggi seperti warga tua tidak perlu tunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

“Bayangkan rawatan pakar boleh dilakukan dalam tempoh dua minggu, namun disebabkan kekurangan doktor pakar menyebabkan pesakit terpaksa sekurang-kurangnya menunggu tiga bulan atau ada sampai enam bulan bagi mendapatkan rawatan atau untuk dibedah.

“Namun tempoh menunggu rawatan pesakit luar dan biasa tidak berdepan masalah kerana doktor harian mencukupi berbanding doktor pakar yang masih kurang,” katanya.

Semalam, akhbar ini me­laporkan sistem kesihatan awam semakin kritikal sehingga negara terpaksa menyaksikan seorang doktor perlu merawat 1,000 pesakit sedangkan nisbah doktor dan pesakit oleh Kementerian Kesihatan bagi tahun 2021 adalah 1:420 di sektor awam serta swasta.

CODE BLUE

Ketidakseimbangan itu mung­kin lebih teruk susulan pen­dedahan oleh portal berita ke­sihatan, Code Blue apabila 70 peratus petugas kementerian terbabit mendakwa mereka mahu berhenti kerana tidak puas hati dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

Pada masa ini, kira-kira 80 peratus daripada kira-kira 33.4 juta rakyat Malaysia terutama golongan B40 yang kini jumlahnya mencecah 8.7 juta orang memilih menggunakan perkhidmatan kesihatan awam sebagai saluran utama mendapatkan rawatan.

Mengulas lanjut, Boon Chye berkata, meskipun kerajaan pada tahun lalu memperbanyakkan tawaran biasiswa menyambung kepakaran kepada pegawai perubatan termasuk berstatus kontrak, namun proses itu memakan masa kerana tempoh pengajian sarjana kepakaran lazimnya memakan masa hingga lima tahun.

Kata beliau, kerajaan sepatutnya melihat isu asas terlebih dahulu iaitu ketidakseimbangan antara jumlah graduan dengan doktor pelatih ekoran masalah lambakan lulusan perubatan kerana berlaku pertambahan pusat pengajian perubatan swasta yang dibenarkan bero­perasi tanpa perancangan.

Boon Chye menjelaskan, ketidakseimbangan itu menye­babkan peluang siswazah perubatan menjalani latihan di hospital-hospital kerajaan terhad, malah mereka bosan apabila terpaksa menunggu enam bulan sehingga setahun untuk penempatan.

MASA DEPAN

“Masalah ini secara tidak langsung menjejaskan masa depan bakal doktor apabila terpaksa menunggu lama untuk menyelesaikan latihan siswazah selama dua tahun terlebih dahulu sebelum disahkan bergelar sebagai pegawai perubatan.

“Sedangkan mereka mempunyai laluan masa depan lebih cerah jika dapat menjalani kursus doktor pelatih sejurus selepas tamat pengajian untuk menyambung bidang kepakaran masing-masing memandangkan­ Malaysia berdepan masalah ke­kurangan doktor pakar,” kata­nya.

Mengulas lanjut, Boon Chye bersetuju, sekiranya Kementerian Kewangan menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk menambah pegawai perubatan dan memperbanyakkan biasiswa kepada mereka untuk melanjutkan pengajian sebagai doktor pakar.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, yuran melanjutkan pengajian sarjana sehingga berjaya bergelar doktor pakar menelan kos RM40,000 hingga RM160,000 sekali gus menyebabkan para graduan terbeban untuk mendapatkan pembiayaan.

Menurut beliau, meskipun Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan biasiswa, tetapi peluang itu terhad selain mereka terpaksa bersaing de­ngan penjawat awam lain yang mahu melanjutkan pengajian.

“Bagi yang tiada pilihan, mereka menggunakan simpanan sendiri untuk menyambung sarjana bagi memperoleh status doktor pakar. Namun hakikatnya kos amat tinggi dan kadangkala terpaksa melakukan pinjaman bank.

“Justeru, saya melihat sudah tiba masanya mana-mana badan korporat menawarkan biasiswa dan pinjaman mudah alih kepada doktor yang ingin me­lanjutkan pengajian agar usaha memperbanyakkan doktor pakar berjaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN