Tiga lelaki direman kes subahat kemuka dokumen palsu syarikat - Utusan Malaysia

Tiga lelaki direman kes subahat kemuka dokumen palsu syarikat

TIGA lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat menggunakan sebuah syarikat bagi mengemukakan dokumen palsu kepada sebuah jabatan kerajaan di Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiga lelaki termasuk seorang kontraktor direman tujuh hari bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat menggunakan sebuah syarikat bagi mengemukakan dokumen palsu kepada sebuah jabatan kerajaan di Muar, Johor untuk mendapatkan kerja-kerja pembaikan bernilai RM130,000.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 40 hingga 63 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Noorhafizah Ishak di Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini.

Noorhafizah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan reman ke atas mereka selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 20 Februari depan.

Menurut sumber SPRM, dua suspek yang bekerja sendiri dan seorang suspek yang merupakan kontraktor telah bersubahat menggunakan sebuah syarikat bagi mengemukakan dokumen palsu iaitu Perakuan Pendaftaran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Sijil Perolehan Kerja Kerajaan CIDB dan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera.

Sumber berkata, dokumen yang mengandungi butiran maklumat palsu itu diberikan kepada sebuah jabatan kerajaan di Muar, Johor untuk mendapatkan kerja-kerja pembaikan berjumlah kira-kira RM130,000 di daerah tersebut.

Menurut sumber, kesemua individu itu telah ditangkap semalam iaitu masing-masing dua di Muar, Johor dan seorang di Pejabat  SPRM Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya