PETALING JAYA: Kerajaan perlu melabur dalam teknologi dan inovasi baharu yang mampu menjana pendapatan tinggi kepada negara sekali gus menjadi sumber alternatif dalam usaha mengukuhkan nilai ringgit pada masa akan datang.
Industri itu yang kini bernilai lebih lima trilion dolar Amerika Syarikat (AS) di peringkat global meliputi pelaburan dalam sektor telekomunikasi, gajet, infrastruktur, teknologi maklumat (IT) dan perkhidmatan perniagaan.
Malah, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjangkakan ekonomi digital negara menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan menjelang 2025 seperti disasarkan dalam Rangka Tindakan MyDigital, setelah menyumbang 23.2 peratus pada 2021.
Ia sebahagian daripada hasil penubuhan Koridor Raya Multimedia pada 1996 apabila sebanyak RM430 bilion dilaburkan untuk ekonomi digital, mewujudkan hampir 200,000 pekerjaan sehingga ke hari ini.
Ini seharusnya membuka mata kerajaan untuk membuat pelaburan lebih besar setelah hanya RM1.062 bilion diperuntukkan untuk bidang teknologi dalam Bajet 2023, dengan RM668 juta peruntukan mengurus dan RM393 juta bagi peruntukan pembangunan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, walaupun ramai menganggap Malaysia sudah maju, negara sebenarnya masih ketinggalan dalam teknologi kerana sering mengutamakan bidang-bidang lain.
Katanya, jika teknologi dan inovasi diberikan perhatian sewajarnya, ia secara tidak langsung akan memajukan kesemua industri lain.
“Malaysia masih belum sampai ke tahap Industri Revolusi 4.0 kerana masih menumpukan kepada soal mekanisasi dan produktiviti, padahal IR4.0 sudah menumpukan kepada penjualan produk yang menggunakan Internet, kecerdasan buatan (AI), robotik dan big data,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, pensyarah ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menyifatkan, kuasa beli pengguna dan nilai ringgit mampu menjadi lebih tinggi jika Malaysia dapat menjadi salah satu kuasa besar dalam bidang teknologi.
“Industri teknologi maklumat dan internet mempunyai potensi yang besar dan inovasi, sebagai contoh, jika banyak produk teknologi tempatan dihasilkan, ia boleh dijual sehingga ke luar negara,” katanya. – UTUSAN










