PETALING JAYA: Di sebalik kisah menyayat hati dan misi bantuan kemanusiaan yang dikongsikan pelbagai pihak, terdapat sukarelawan yang turut menjadi mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Ataa Relief, sebuah pertubuhan kemanusiaan di Turkiye kehilangan pejabat cawangannya di Gaziantep dan Hatay di Antakya serta cawangannya di Aleppo, Syria akibat gempa bumi pada 7 Februari lalu.
Kesannya besar sehingga sebilangan anggota badan kemanusiaan itu turut kehilangan tempat tinggal, namun mereka terus membantu mangsa gempa bumi lain yang lebih menyedihkan dan susah.
Antaranya, Ataa Relief berjaya mengagihkan bantuan semuanya bernilai RM200,000 berupa pek makanan, alat pemanas dan roti kepada 676 keluarga hasil sumbangan Humanitarian Care Malaysia (MyCare).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, pihaknya bekerjasama dengan Ataa Relief supaya bantuan dapat disalurkan dengan efektif.
Katanya, ia juga memberi ruang kepada Ataa Relief untuk fokus sepenuhnya terhadap mangsa gempa bumi tanpa perlu menunggu kehadiran pasukan sukarelawan dari luar negara.
“Ataa Relief adalah rakan MyCare, anggota mereka terdiri daripada warga Turkiye dan Syria yang berdaftar di kedua-dua negara itu, jadi mereka membantu menyalurkan dana bantuan yang disalurkan oleh kami.
TERUK
“Malangnya, cawangannya di Gaziantep, Antakya dan Aleppo teruk dilanda gempa bumi, mereka juga terpaksa menyelamatkan diri, membawa diri ke tempat lebih selamat namun mereka tetap bergerak menyalurkan bantuan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pihak MyCare akan terus menyalurkan dana dan merancang untuk menghantar pasukan sukarelawan pada minggu hadapan.
“Sekarang ini, keadaan di sana masih di peringkat mencari dan menyelamat. Ataa Relief juga ada kepakaran tertentu seperti perubatan, psikososial serta boleh berbahasa tempatan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, pasukan MyCare akan mengumpul maklumat di sana bagi mengenal pasti keperluan mendesak oleh mangsa gempa bumi.
“Ini termasuk keperluan mendesak di Syria kerana ramai membantu mangsa di Turkiye, tetapi tidak banyak pihak yang fokus kepada mangsa di Syria,” katanya.
Tambahnya, mangsa gempa bumi juga perlu dibantu secara jangka panjang iaitu sehingga mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
“Apa yang dilihat adalah kemusnahan infrastruktur, tetapi ia sebenarnya soal bagaimana mangsa gempa bumi nak teruskan kehidupan. Bagaimana dengan pekerjaan, pendidikan anak-anak, kesihatan dan sebagainya.
“Ini soal membina kehidupan semula termasuk kehidupan anak-anak yatim, kesihatan mental mangsa-mangsa, supaya dapat kembali kepada kehidupan mereka,” katanya.- UTUSAN










