PUTRAJAYA: Dana atau sumbangan asing untuk parti politik tidak boleh dibenarkan sama sekali dan perlu dijadikan asas utama dalam draf Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan sumbangan politik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, risiko sumbangan asing amat luas dan sebarang ‘pintu’ untuk membenarkan bibit pengaruh asing perlu ditutup.
Beliau berkata, parti politik perlu mewakili aspirasi rakyat serta kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
MELABUR
Ini untuk mengelakkan sebarang agenda tersembunyi oleh pihak asing, khususnya pelobi doktrin dan nilai songsang tertentu.
“Kerajaan dan pihak asing boleh datang melabur di negara kita, dan boleh memberi pinjaman tanpa faedah atau sumbangan melalui agensi kerajaan jika ingin menghulurkan sebarang bantuan.
“Ini untuk mengelakkan sebarang agenda tersembunyi oleh pihak asing, khususnya pelobi doktrin dan nilai songsang tertentu,” katanya di sini semalam.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kelmarin memberitahu, kerangka RUU berkaitan sumbangan politik sudah siap dan cuma memerlukan menteri baharu, Datuk Seri Azalina Othman Said mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri untuk dibentangkan di Parlimen yang sebelum ini disasarkan selewat-lewatnya pada sidang akan datang bermula 13 Februari hingga 30 Mac ini.
Dalam akta itu, setiap transaksi atau sumbangan perlu dinyatakan secara terperinci penyumbangnya supaya terbuka dan telus, diketahui umum dan boleh disemak oleh mana-mana badan yang kawal selia.
Menurut Wan Ahmad Fauzi, jumlah sumbangan juga tidak perlu dihadkan asalkan ia dari sumber yang sah.
Beliau menjelaskan, undang-undang ini amat penting agar semua pihak diadili berdasarkan asas yang sama serta tidak berlaku pendakwaan terpilih.
KONGSI
Selain itu katanya, kertas cadangan RUU dana politik perlu juga dikongsikan kepada rakyat untuk mendapatkan maklum balas yang boleh memberi input untuk mengukuhkan lagi aspek penting dalam RUU.
“Ahli politik sebagai pihak yang berkepentingan pastinya mempunyai sudut pandangan dan kekhuatiran tertentu dalam aspek tadbir urus pendanaan, begitu juga pihak penyumbang dan rakyat yang kesemuanya mempunyai kepentingan dalam proses pemilihan wakil mereka.
“Undang-undang pendanaan politik perlu bersifat wajar, munasabah dan semasa bukan sahaja menggariskan apa yang boleh serta apa yang tidak boleh, sebaliknya apa lebih penting ia perlu dilihat tidak menghalalkan sumber sumbangan yang bertentangan dengan undang-undang lain,” katanya.
Pada masa sama, Wan Ahmad Fauzi berkata, RUU tersebut perlu dipastikan tidak menafikan peluang kepada calon yang tidak mempunyai sumber pendanaan yang kukuh untuk bertanding secara kompetitif.
Katanya, ia juga perlu mengadakan sekatan tertentu agar tidak memberi kelebihan yang tidak wajar kepada parti yang mempunyai kewangan yang kukuh dalam kempen pemilihan peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Justeru, skop perbelanjaan daripada pendanaan politik juga perlu jelas dan memberi keutamaan perbelanjaan kepada pekerja dan aktiviti parti,” katanya.
Sebelum ini, pelbagai pihak menggesa kerajaan membentangkan RUU berkaitan pendanaan politik kerana ia sudah lama tertangguh.
Gesaan itu dibuat selepas akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menyeleweng dana kerajaan bernilai RM92.5 bilion.
Tanpa adanya undang-undang yang mengikat parti politik untuk mengisytiharkan sumber dan wang yang diperoleh, dikhuatiri lebih banyak parti politik terus membudayakan perolehan dana meragukan. – UTUSAN










