Ribuan ditipu peminjam wang - Utusan Malaysia

Ribuan ditipu peminjam wang

KERAJAAN diminta turut padang selami masalah rakyat yang keluh-kesah kerana kenaikan kos sara hidup. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Puluhan ribu mangsa rugi ditipu sindiket pinjaman wang dan angka tersebut dikhuatiri akan bertambah apabila kerajaan menyekat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika kos sara hidup terus melonjak.

Kebimbangan itu berdasarkan aduan antara lima hingga 15 mangsa sehari yang menghubungi Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) meluahkan mereka kerugian ditipu sindiket tawaran pinjaman wang.

Mangsa-mangsa mendakwa mereka terperdaya dengan tawaran pinjaman kerana sindiket terutamanya ah long kini menyelitkan unsur pinjaman kononnya patuh syariah selain menawarkan kadar faedah rendah dan cepat lulus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden 4PM, Rosland Mohd. Arif berkata, trend penipuan sindiket pinjaman wang meningkat sejak awal tahun ini apabila lebih banyak aduan diterima iaitu sekitar 10 hingga 15 panggilan setiap hari.

Menurut beliau, pihaknya bimbang kes-kes penipuan seperti itu akan terus meningkat apabila ia turut dipengaruhi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

JERAT

“Di sebalik kempen-kempen kesedaran agar masyarakat tidak terpedaya dengan jerat ah long, sindiket pinjaman wang, kami di 4PM berterusan menerima jumlah laporan yang tinggi di antara lima sehingga 15 aduan sehari, menjadikan jumlah kes setiap bulan yang dikendalikan kini mencecah 300 kes dan setahun sekitar 3,600

“Dulu panggilan bawah 10 pengadu sehari tetapi bertambah,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosland mempersoalkan sikap kerajaan yang terlalu berkeras tidak mahu membenarkan pengeluaran KWSP atas alasan risaukan simpanan hari tua pencarum.

Sedangkan, menurut beliau, kerajaan langsung tidak mengawal kenaikan inflasi yang mengakibatkan ramai terpaksa menempuh liku kehidupan yang sukar akibat kekurangan sumber pendapatan sehingga semakin ramai yang meluahkan mahu bunuh diri.

“Isunya, sekarang ini terlalu ramai rakyat yang sedang terdesak dan kesusahan. Jadi, bila mereka tak berfikir panjang, mereka akan ambil pinjaman itu. Pepatah yang paling tepat, sekarang ini ah long pula mencanak cuba menangguk di air yang keruh.

“Kerajaan pula beritahu, mereka risaukan simpanan orang Melayu dalam KWSP yang terlalu sedikit, sebab itu tak membenarkan pengeluaran KWSP, itu yang dirisaukan,” katanya.

PINJAMAN

Kata beliau, setakat ini kes pinjaman paling tinggi yang pernah dilaporkan kepada pihaknya melibatkan pinjaman sebanyak RM700,000, yang dipinjam oleh seorang peminjam melalui beberapa syarikat ah long.

Bagaimanapun, katanya, jumlah paling lazim dipinjam daripada ah long adalah serendah RM1,000 yang mana jumlah bersih yang diterima peminjam cuma sekitar RM500 sehingga RM700 selepas dipotong pelbagai caj sepertio proses dokumentasi dan sebagainya oleh pemberi pinjaman.

Susulan itu, Rosland berkata, pihak berkuasa perlu lebih agresif memantau dan menyekat iklan-iklan pinjaman wang termasuk membabitkan pinjaman pendahuluan KWSP.

“Pinjaman sedemikian bukan sahaja menyusahkan hidup tetapi ia turut menjatuhkan maruah peminjam. Duit yang diterima tak ada banyak mana pun, tetapi lebih memalukan apabila pemberi pinjaman akan mendedahkan identiti peminjam termasuk menularkan wajah peminjam apabila peminjam tak dapat melunaskan pembayaran,” katanya.

Mengulas mengenai pinjaman patuh syariah, Rosland berkata, itu semuanya hanya gimik untuk menjerat mangsa.

MALANG

“Amat malang apabila peminjam yang terpesona dengan segala gimik kononnya pinjaman yang dibuat patuh syariah dan rendah kadar bunga, namun akhirnya terpaksa berputih mata apabila dituntut melunaskan kadar faedah yang terlalu tinggi,” kata beliau.

Sehubungan itu, Rosland mendesak kerajaan turun padang dan cuba memahami keluh kesah rakyat seterusnya merancang polisi yang benar-benar boleh membantu mereka.

” Yang bercakap mahu bunuh diri sekarang ini pun bertambah. Dulu saya jarang dengar orang Melayu mahu membunuh diri, tapi sekarang, orang Melayu sebut mahu bunuh diri,” katanya.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan hasil siasatan berhubung pencarum KWSP yang berusia hampir 50 tahun dan 55 tahun kini menjadi sasaran syarikat pemberi pinjaman wang yang mendakwa mempunyai lesen dikenali sebagai Kredit Komuniti untuk pinjaman mudah tanpa ansuran bulanan.

Kebanyakan syarikat pinjaman tersebut yang menggunakan nama yang ada unsur Islamik, didapati giat membuat promosi pinjaman tersebut dalam media-media sosial dengan tag ‘pinjam dahulu, bayar kemudian’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN